Categories
SELANGOR

PPAS tawar bahan bacaan mesra OKU cacat penglihatan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 JAN : Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS) kini dilengkapi kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan.

Pengarah PPAS, Mastura Muhamad berkata, PPAS menawarkan perkhidmatan buku audio bermanfaat kepada golongan tersebut untuk mendapatkan sumber bacaan secara berkesan.

“Perkhidmatan ini dijalankan menerusi kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan beberapa syarikat penerbitan buku untuk menterjemahkan karya tempatan dalam bentuk audio.

“Inisiatif ini digerakkan atas komitmen Dato’ Menteri Besar yang mahu ia dihasilkan supaya karya agung Sasterawan Negara diterjemahkan dalam bentuk audio untuk OKU cacat penglihatan.

Worlwide PPAS (1)“Manfaatnya OKU cacat penglihatan ini tidak perlu lagi membaca buku braile, sebaliknya guna medium buku audio ini dan dengar,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif tersebut lebih memberi manfaat kepada golongan itu kerana terjemahan audio dilengkapi dalam Bahasa Melayu.

“Sebelum ini agak sukar kerana buku audio hanya tersedia dalam bahasa Inggeris sahaja dan tidak dibuat dalam Bahasa Melayu.

“Inisiatif dibangunkan Kerajaan Negeri, PPAS dapat memudahkan pembaca khususnya golongan OKU cacat penglihatan.

“Justeru kami berharap penambahbaikan ini akan mendorong orang ramai untuk datang berkunjung ke PPAS,” katanya.

-nR-