Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 200 buku dipinjam, Harry Potter kekal pilihan BooksFly2U

SHAH ALAM, 2 SEPT: Novel fantasi Harry Potter karya J K Rowling dan buku cerita kanak-kanak penulis termasyhur Enid Blyton kekal antara naskhah popular pilihan peminjam melalui BooksFly2U.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata buku kategori bukan fiksyen menerima permintaan tinggi dan seramai 64 peminjam direkodkan sejak program itu bermula pada 26 Jun lalu.

“Selain daripada buku bukan fiksyen hasil tulisan Rowling dan Blyton, buku-buku terbitan Scholastic turut menarik perhatian pembaca. Mengikut rekod sehingga 1 September, peminjam buku terdiri daripada 55 orang dewasa, enam kanak-kanak dan tiga remaja,” kata Mastura Muhamad ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan 281 buku sudah dipinjam dengan pecahan 243 bagi bahasa Melayu dan lima bahasa Inggeris bagi tempoh lebih dua bulan.

Katanya, masyarakat terus digalak meminjam buku secara dalam talian bagi memupuk budaya membaca.

Melalui BooksFly2U dilancarkan pada 16 Julai lalu, pengguna hanya perlu membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor 010-8491448 atau 03-55197667.

Dalam tempoh dua hari, petugas perpustakaan akan mendapatkannya dan mengaturkan penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan manakala kos penghantaran serta pemulangan semula buku ditanggung peminjam.

Categories
AGENSI SELANGOR

PPAS perkenal ulasan buku berkonsep video

SHAH ALAM, 2 SEPT: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memperkenalkan ulasan buku berkonsepkan video bagi mempromosi judul kurang laris dalam kalangan peminjam.

Pengarahnya, Mastura Muhamad berkata usaha berkenaan antara strategi publisiti bagi menarik minat pembaca terhadap naskah tersebut dengan sasaran tiga judul ulasan setiap bulan.

“PPAS buat ulasan buku dengan konsep video selama enam hingga 10 minit dan sebarkannya di media sosial. Kita akan pilih buku terbaik seperti karya agung untuk dikupas pembaca yang selesai menelaah naskah berkenaan.

“Setakat ini usaha tertumpu kepada karya agung dikeluarkan sendiri Kerajaan Negeri menerusi Projek Pencerahan Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan sebanyak 34 tajuk buku sudah diterjemahkan dan dua video ulasan dihasilkan setakat ini.

Kerajaan Negeri melalui Projek Pencerahan Selangor berjaya menterjemah beberapa karya agung dari pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab, bahasa Perancis dan juga bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.

Malah penerbitan buku audio juga merupakan salah satu komponen projek terbabit yang dijayakan dengan kerjasama PPAS.

Categories
AGENSI SELANGOR

PPAS dibuka semula Isnin ini – Mastura

SHAH ALAM, 13 JUN: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan membuka semula semua perkhidmatan kepada pengunjung bermula Isnin ini, kata pengarahnya.

Mastura Muhamad berkata pengoperasian semula adalah selaras Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan kerajaan sejak kelmarin.

“Kita menghadkan jumlah pengguna mengikut kesesuaian saiz ruang perpustakaan dan mereka perlu mendaftarkan diri di kaunter perkhidmatan.

“Bagaimanapun, kanak-kanak serta golongan berisiko dinasihatkan untuk tidak berada di premis PPAS,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau turut mengingatkan pengguna supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti memeriksa suhu badan, mengimbas kod QR SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat), penjarakan sosial satu meter, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

Pada masa sama, Mastura berkata peminjam buku atau bahan rujukan yang tidak sempat memulangkannya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi tempoh sehingga 31 Julai tanpa dikenakan denda.

Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam; PPAS Gombak, PPAS@PJKita Kampung Lindungan, PPAS Kajang dan PPAS Sungai Udang akan beroperasi pada setiap Isnin hingga Ahad bermula 9 pagi hingga 7 malam.

Waktu operasi bagi perpustakaan daerah, cawangan, pekan dan desa adalah Isnin hingga Jumaat mulai 9 pagi hingga 6 petang manakala Sabtu pada minggu kedua dan keempat setiap bulan dari 9 pagi hingga 5.30 petang.

Categories
SELANGOR

Pelancongan berasas pendidikan terus diperkasa

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 3 MEI: Program pelancongan berasaskan pendidikan di Selangor akan terus diperkasa melalui sokongan Kerajaan Negeri, kata Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad.

Katanya, setiap negeri atau negara bakal maju jika aspek pelancongan dipertingkat, sekali gus melahirkan generasi berkeyakinan dan berfikiran kreatif.

“PPAS yang berada di bawah Kerajaan Negeri akan memudahkan dan membantu sekolah yang ingin mengadakan program di peringkat antarabangsa serta memberi keutamaan khususnya bagi anak Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Perlancaran Lunak (Soft Launching) Festival Antarabangsa #MySchoolGoals di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini hari ini.

Pada masa sama, Mastura turut memuji inisiatif penganjuran Festival Antarabangsa #MySchoolGoals pada 30 Julai ini, bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan modal insan.

“Saya yakin dan percaya dengan adanya usaha berterusan ini, kita akan dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara,” katanya.

Festival Antarabangsa #MySchoolGoals adalah sebuah program memperkasakan budaya membaca dan mencungkil bakat dalam kalangan pelajar di seluruh Malaysia serta Asia Tenggara.

Ia mendapat sokongan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia dan 15 rakan strategik seperti Balai Seni Negara, McDonalds Malaysia dan Storymakers League Asia.

 

Categories
SELANGOR

PPAS tawar bahan bacaan mesra OKU cacat penglihatan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 JAN : Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS) kini dilengkapi kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan.

Pengarah PPAS, Mastura Muhamad berkata, PPAS menawarkan perkhidmatan buku audio bermanfaat kepada golongan tersebut untuk mendapatkan sumber bacaan secara berkesan.

“Perkhidmatan ini dijalankan menerusi kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan beberapa syarikat penerbitan buku untuk menterjemahkan karya tempatan dalam bentuk audio.

“Inisiatif ini digerakkan atas komitmen Dato’ Menteri Besar yang mahu ia dihasilkan supaya karya agung Sasterawan Negara diterjemahkan dalam bentuk audio untuk OKU cacat penglihatan.

Worlwide PPAS (1)“Manfaatnya OKU cacat penglihatan ini tidak perlu lagi membaca buku braile, sebaliknya guna medium buku audio ini dan dengar,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif tersebut lebih memberi manfaat kepada golongan itu kerana terjemahan audio dilengkapi dalam Bahasa Melayu.

“Sebelum ini agak sukar kerana buku audio hanya tersedia dalam bahasa Inggeris sahaja dan tidak dibuat dalam Bahasa Melayu.

“Inisiatif dibangunkan Kerajaan Negeri, PPAS dapat memudahkan pembaca khususnya golongan OKU cacat penglihatan.

“Justeru kami berharap penambahbaikan ini akan mendorong orang ramai untuk datang berkunjung ke PPAS,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

PPAS sasar 1 juta pengunjung, tingkat fasiliti perpustakaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 JAN : Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS) mensasarkan kemasukan 1 juta pengunjung untuk tempoh 2017 ini.

Pengarahnya, Mastura Muhamad berkata, pihaknya yakin jumlah tersebut mampu dicapai berpandukan peningkatan hasil kemasukan jumlah pengunjung untuk tahun sebelumnya.

“2016 menyaksikan kejayaan besar PPAS kerana untuk tahun 2014 kami menerima jumlah kedatangan pengunjung sekitar 814,000 orang.

“Seterusnya pada tahun 2015, jumlah tersebut agak menurun kepada 696,000 pengunjung.

“Namun 2016 jumlah tersebut meningkat mendadak kepada 909,000 pengunjung dalam keadaan fasiliti dan kawasan tempat letak kenderaan yang sedang dibina ketika itu.

Worlwide PPAS (2)“Justeru untuk tempoh 2017, kami optimis mengharapkan peningkatan kepada sejuta pengunjung berpandukan kempen dan program yang dirangka,” katanya kepada SelangorKini.

Mastura ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan RM50,000 Worldwide Holding Berhad di Dewan Utama PPAS, semalam.

Usaha murni itu dibuat selaras penjenamaan korporat Wordwide Holding untuk terus konsisten melaksana inisiatif tanggungjawab sosial (CSR).

Dalam perkembangan lain, Mastura berkata, kemudahan PPAS kini dilengkapi fasiliti 600 tempat letak kenderaan tambahan lebih luas dan dapat menampung kepadatan pengunjung.

Bahkan, PPAS kini turut menyediakan pelbagai sumber dan keperluan bahan bacaan yang sesuai untuk semua golongan masyarakat.

-nR-

Categories
SELANGOR

Parkir PPAS dinaiktaraf sedia 600 tempat

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 3 DIS: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan menaik taraf 600 tempat letak kenderaan bermula Disember ini.

Pengarah PPAS, Mastura Muhamad, berkata penambahan  tempat letak kenderaan itu bagi keselesaan orang awam ekoran peningkatan kunjungan.

PPAS“Kerja menaik taraf bermula Disember ini dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka siap pada 2017.

“Kita akan bangunkan kepada tiga tingkat untuk memuatkan 600 petak kenderaan memandangkan sebelum ini kita cuma ada 100 petak sahaja,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada 2011 hingga 2013 peningkatan seramai 1.56 juta pengunjung berbanding 2008 hingga 2010 pengunjung yang mencatatkan seramai 418,000 orang.

“Dengan adanya penambahbaikan ini, kita berharap ia dapat memberi keselesaan kepada orang ramai terutama bagi mereka yang sering berkunjung di hari minggu bersama ahli keluarga.

“Sementara kerja penyelenggaraan dijalankan, orang ramai diharap dapat bersabar dan memberi kerjasama baik dengan PPAS dengan sebarang kesulitan,” katanya.

EZY