Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sekatan Trump bersifat diskriminasi

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 JAN: Tindakan Amerika Syarikat (AS) menggantung kemasukan warga Islam dari tujuh negara majoriti Muslim dan pelarian ke negara itu tidak wajar.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Seri Dr Mustafa Ishak berkata, sekatan imegresen itu juga adalah satu bentuk diskriminasi nyata.

Katanya, ia juga dibuat secara menyeluruh tanpa mengira sama ada mereka pengganas atau tidak.

syria“Tidak masuk akal kalau seluruh penduduk dari tujuh negara itu pengganas.

“Perkara ini buat pertama kali dilakukan di AS iaitu satu tindakan dibuat presiden berasaskan kepada prinsip yang dijunjung AS selama ini iaitu tidak diskriminasi terhadap individu berdasarkan kaum, agama dan jantina,” katanya dipetik Hari Ini 8 di Astro Awani.

Pada 28 Januari lalu, Reuters melaporkan Presiden AS, Donald Trump mengeluarkan arahan membekukan kemasukan pelarian selama empat bulan terhadap warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman, sekurang-kurangnya 90 hari.

Kata Trump, pentadbirannya memerlukan masa mewujudkan proses penapisan lebih ketat bagi pelarian, imigran dan pelancong.

Tindakan itu bagaimanapun dikecam Parti Demokrat yang menyifatkannya sebagai bertentangan dengan nilai AS dan menjejaskan reputasi negara itu yang mengalu-alukan imigran sebelum ini.

-NFN-