Categories
KENYATAAN MEDIA

Selamat Tahun Baru Cina 2017

OLEH DATO’ DR. AHMAD YUNUS  HAIRI

“Katakanlah: “Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu Agamamu, dan untukkulah Agamaku.” (QS. Al Kaafirun: 1-6)

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat Negeri Selangor berbangsa Tionghua yang akan menyambut Tahun Baru Cina 2017 pada tanggal 28 dan 29 Januari 2017.

Semoga kehadiran Tahun Baru Cina kali ini yang berzodiakkan tahun Ayam Api (mengikut Zodiak Cina) yang bersifat tangkas, aggresif dan hebat akan menjanakan tuah, keamanan, keuntungan serta kemakmuran yang berterusan yang juga akan dapat dinikmati bersama seluruh warga rakyat berbilang kaum di dalam Negeri Selangor ini tanpa batasan agama, ideologi politik ataupun warna kulit.

Diharapkan dengan tema “Membangun Bangsa, Memakmur Negeri” Kerajaan Negeri Selangor, perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini akan menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan persefahaman yang utuh di kalangan warga rakyat negeri Selangor yang berbilang bangsa khususnya.

Islam sangat menggalakkan penganutnya supaya belajar untuk memahami secara teliti setiap perayaan dan sambutan hari kebesaran agama-agama lain.

Ini disebabkan Islam mengajar supaya penganutnya menghormati kepercayaan dan adat budaya penganut agama selain Islam supaya umat Islam dapat menghindari daripada melakukan sesuatu perkara yang boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni di kalangan penganut agama masing-masing.

Agama Islam sangat melarang penganutnya melakukan kekerasan, paksaan, penindasan, kekejaman ataupun penghinaan kepada agama-agama selain Islam walaupun di dalam sebuah Negara Islam.

Nabi Muhammad SAW merupakan contoh teladan manusia mulia yang ditindas, dicaci maki dan diperangi oleh kaum Musyrikin Mekah tetapi beliau tidak membalas segala kekejaman yang telah dikenakan kepada beliau walaupun setelah Baginda menjadi Pemimpin seluruh jazirah Tanah Arab.
Malah Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud “ Barangsiapa yang menyakiti Kafir Dzimmi, maka Aku (Rasulullah SAW) akan menjadi lawannya di Hari Kiamat kelak” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, saya mengharapkan perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini akan disambut dengan penuh meriah dan ceria.

Semoga ikatan kekeluargaan semakin utuh, jalinan persahabatan bertambah erat, hubungan silaturrahim bertambah mesra dan jaringan komuniti terus dijalin utuh.

Kekalkan keamanan dan kesejahteraan, suburkan perpaduan dan jauhi perpecahan serta elakkan pembaziran dan pemborosan,

“SELAMAT TAHUN BARU CINA 2017” “GONG XI FA CAI”

YANG BERHORMAT DATO’ DR. HJ AHMAD YUNUS HAIRI
AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI SELANGOR (EXCO)
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan
Pembangunan Desa dan kampung Tradisi