Categories
KENYATAAN MEDIA

Kenapa Malaysia tandatangani TPPA?

OLEH : Mohamad Raimi Ab Rahim

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan rasa kesal terhadap keputusan untuk meratifikasikan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) secara tergesa-gesa pada tahun lalu.

ABIM ingin merujuk kepada tindakan Amerika Syarikat (A.S) menerusi Presiden barunya, Donald J. Trump, yang mengistiyharkan penarikan diri (menerusi Perintah Eksekutif) dari perjanjian tersebut mulai 23 Januari 2017 (waktu A.S).

ABIM ingin merujuk kepada analisis-analisis serta kenyataan media yang merujuk tindakan tersebut secara langsung akan menggagalkan perlaksanaan TPPA.

ABIM juga berpandangan keputusan itu tidak mengejutkan kerana TPPA gagal mendapat sokongan dan kelulusan yang diperlukan di peringkat perundangan Kongres Amerika Syarikat sebelum tamatnya pentadbiran Presiden Barrack H. Obama.

Ratifikasi TPPA oleh kerajaan Malaysia adalah suatu tindakan yang sangat merugikan kerana dilakukan secara tergesa-gesa tanpa mencermati prospek serta hala tuju politik A.S.

Tambahan ratifikasi terhadap TPPA turut membabitkan pindaan serta pengubahsuaian beberapa akta serta peruntukan perundangan yang berkaitan.

Bahkan TPPA turut diratifikasikan tanpa menberi ruang yang sewajarnya untuk dicermati butiran serta implikasinya oleh rakyat Malaysia.

ABIM serta barisan NGO, pertubuhan masyarakat madani yang mewakili kepentingan seluruh rakyat Malaysia, sekali lagi menegaskan bahawa kami menolak perlaksanaan TPPA serta mana-mana perjanjian perdagangan yang tidak memenuhi kepentingan rakyat serta negara secara mampan untuk jangka masa panjang.

Kami juga ingin menggesa kerajaan Malaysia memuktamadkan dengan jelas dan segera pendirian mengenai pembabitan negara dengan TPPA selepas ini.

Mohamad Raimi Ab Rahim adalah Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

#bantahTPPA