Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Subang Jaya bakal miliki klinik kesihatan kerajaan

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 7 JAN: Perjuangan mendapatkan sebuah klinik kesihatan kerajaan di Subang Jaya mula menunjukkan bibit positif selepas sekian lama diperjuangkan.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, pihaknya menerima surat makluman kelulusan permohonan tukar guna tapak cadangan sekolah milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai tapak cadangan klinik yang kini difahamkan dalam proses tukar hak milik bagi membolehkan proses seterusnya.

“Saya membawa isu ini di Parlimen dua kali sebelum mula menulis surat pada November 2015 bagi bertanyakan status tanah, namun tiada jawapan.

hannah-yeoh-5“Bermula pertengahan 2016, kami mula menghantar surat ingatan mesra (friendly reminder) berhubung isu berkenaan dalam tempoh dua atau tiga minggu sekali.

“Akhirnya, selepas surat ke-16 dihantar, kita menerima khabar gembira bahawa mereka bersetuju memberi tapak kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pembinaan klinik,” katanya dalam sidang media di pejabatnya disertai Ahli Dewan Negeri (ADN), Hannah Yeoh, di sini, hari ini.

Wong Chen berkata, pembinaan klinik kesihatan begitu mendesak di Subang Jaya memandangkan klinik kerajaan terdekat terletak di Kelana Jaya dan Puchong.

“Saya berharap pembentangan Belanjawan 2018 di Parlimen pada Oktober ini mengandungi bajet untuk pembinaan klinik yang serba lengkap bukan seperti Klinik 1Malaysia.

“Saya percaya, dengan terbinanya klinik ini nanti dapat memberi manfaat kepada warga Subang Jaya,” katanya.

Menerusi surat bertarikh 9 Disember 2016, Menteri Pendidikan meluluskan permohonan guna tanah tapak cadangan Sekolah Kebangsaan Subang Mewah kepada KKM.

Permohonan dijangka mula dilaksanakan selepas hak milik tapak berkenaan didaftarkan atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).

-NFN-