Categories
AGENDA SELANGOR

17 klinik Selgate buka tempahan vaksin Selangor untuk pekerja industri

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kaunter tempahan program Vaksin Selangor (Selvax ) Industri dibuka melibatkan 17 klinik bagi memudahkan pendaftaran dan memberi khidmat mesra pelanggan.

Jawatankuasa Selvax Industri berkata kaunter dibuka di rangkaian klinik milik anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Healthcare Sdn Bhd iaitu Selcare Clinic, The KL Cinic dan Selcare Pharmacy.

“Langkah pembukaan ini memudahkan syarikat, industri atau majikan dalam urusan pendaftaran, pembayaran dan tempahan slot vaksinasi.

“Kami mengalu-alukan syarikat, industri atau majikan melakukan pendaftaran seterusnya memvaksin pekerja mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama dikeluarkan EXCO industri dan perdagangan Dato’ Teng Chang Khim dan EXCO pembangunan usahawan Rodziah Ismail.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web https://vax.selangkah.my atau hubungi pusat panggilan 1-800-22-6600

Pada Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan Selvax Industri dengan menyediakan dua juta dos vaksin kepada majikan bagi diagihkan secara percuma untuk sejuta pekerja negeri ini termasuk warga asing.

Berikut senarai klinik terlibat:

1-SELCARE Clinic (Shah Alam)

2-SELCARE Clinic (Puchong)

3-SELCARE Clinic (Putrajaya)

4-SELCARE Clinic (Klang)

5-SELCARE Clinic (Lapangan Terbang Subang)

6-SELCARE Clinic (USJ Sentral)

7-SELCARE Clinic (Desa Mentari)

8-The KL Clinic (Menara Worldwide)

9-The KL Clinic (UBN Tower)

10-The KL Clinic (Rohas Perkasa)

11-The KL Clinic (Menara Hap Seng 2)

12-The KL Clinic (Menara Olympia)

13-The KL Clinic (Stesen Lama KTM)

14-The KL Clinic (Cheras)

15-The KL Clinic (Sri Rampai)

16- SELCARE Pharmacy (Petaling Jaya)

17-SELCARE Pharmacy (Bangi)

Categories
SELANGOR

Naik taraf Klinik Desa Puncak Alam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JUN: Klinik Desa Puncak Alam perlu dinaik taraf kepada Klinik Kesihatan bagi memberi perkhidmatan rawatan kesihatan terbaik.

Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, hal itu kerana pihaknya sering mendengar rungutan penduduk setempat berhubung kemudahan, di klinik terbabit.

Katanya, kerja menaik taraf klinik perlu dilaksanakan selaras dengan perubahan semasa dan pembangunan negara.

“Kita akan pastikan ada Klinik Kesihatan yang besar dan selesa untuk penduduk Puncak Alam khususnya serta warga Jeram amnya.

“Ini janji saya untuk warga Puncak Alam,” katanya yang membuat lawatan ke klinik itu, baru-baru ini.

Shaid berkata, klinik desa yang bertentangan dengan rumah itu didirikan di kawasan perumahan selain ruang yang sempit menyebabkan pesakit tidak mendapat tempat duduk.

“Ini juga menyukarkan pesakit mendapat kemudahan parkir yang baik dan hanya duduk, di atas lantai.

“Selepas melawat Klinik Desa Puncak Alam, saya terus hubungi Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefly Ahmad yang juga Menteri Keihatan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hannah: Jangan mungkir janji lagi

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 7 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh menggesa Kerajaan Persekutuan tidak menangguh lama pembinaan Klinik Kesihatan Subang Jaya yang diperjuangkan penduduk selama ini.

Beliau berkata, ia merupakan keperluan asas penduduk yang selama ini terpaksa berkunjung ke klinik kerajaan di Kelana Jaya dan Puchong untuk mendapatkan rawatan asas kesihatan.

“Saya harap sangat Kerajaan Persekutuan ada duit untuk melaksanakan projek ini untuk manfaat rakyat.

hannah-yeoh-5“Dengan populasi Subang Jaya yang semakin padat, pembinaan klinik kesihatan kerajaan ini adalah sangat diperlukan terutama warga tua dan kanak-kanak,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini,

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan permohonan tukar guna tanah tapak sekolah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan pembinaan klinik, dalam satu surat bertarikh 9 Disember 2016.

Hannah berkata, keputusan KPM itu juga tidak seharusnya dipertikai memandangkan ia digunakan untuk kepentingan umum.

“Saya harap tiada pihak membangkitkan isu ini kerana kesihatan juga sama penting dengan pendidikan,” katanya.

Pada 2012, Yeoh dilaporkan berkata, Klinik Kesihatan Subang Jaya dijadual dibina menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) dengan kos RM8 juta, namun tiada sebarang perkembangan.

“Jadi, untuk kali ini, kita akan sentiasa memantau dan menyemak perkembangannya bagi memastikan janji mereka ditepati,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Subang Jaya bakal miliki klinik kesihatan kerajaan

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 7 JAN: Perjuangan mendapatkan sebuah klinik kesihatan kerajaan di Subang Jaya mula menunjukkan bibit positif selepas sekian lama diperjuangkan.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, pihaknya menerima surat makluman kelulusan permohonan tukar guna tapak cadangan sekolah milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai tapak cadangan klinik yang kini difahamkan dalam proses tukar hak milik bagi membolehkan proses seterusnya.

“Saya membawa isu ini di Parlimen dua kali sebelum mula menulis surat pada November 2015 bagi bertanyakan status tanah, namun tiada jawapan.

hannah-yeoh-5“Bermula pertengahan 2016, kami mula menghantar surat ingatan mesra (friendly reminder) berhubung isu berkenaan dalam tempoh dua atau tiga minggu sekali.

“Akhirnya, selepas surat ke-16 dihantar, kita menerima khabar gembira bahawa mereka bersetuju memberi tapak kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pembinaan klinik,” katanya dalam sidang media di pejabatnya disertai Ahli Dewan Negeri (ADN), Hannah Yeoh, di sini, hari ini.

Wong Chen berkata, pembinaan klinik kesihatan begitu mendesak di Subang Jaya memandangkan klinik kerajaan terdekat terletak di Kelana Jaya dan Puchong.

“Saya berharap pembentangan Belanjawan 2018 di Parlimen pada Oktober ini mengandungi bajet untuk pembinaan klinik yang serba lengkap bukan seperti Klinik 1Malaysia.

“Saya percaya, dengan terbinanya klinik ini nanti dapat memberi manfaat kepada warga Subang Jaya,” katanya.

Menerusi surat bertarikh 9 Disember 2016, Menteri Pendidikan meluluskan permohonan guna tanah tapak cadangan Sekolah Kebangsaan Subang Mewah kepada KKM.

Permohonan dijangka mula dilaksanakan selepas hak milik tapak berkenaan didaftarkan atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).

-NFN-

Categories
NASIONAL

Klinik Kesihatan Padang Jawa Daif, Kerajaan Selangor Hulur Bantuan

Klinik Kesihatan Padang Jawa Daif 1

SHAH ALAM 5 MAC : Prihatin dengan keselamatan pesakit, Kerajaan Negeri terpaksa mengambil tanggungjawab Kementerian Kesihatan dalam menyediakan kemudahan asas sebuah klinik kesihatan di sini.

Klinik Kesihatan Padang Jawa dibina kira-kira 50 tahun itu berada dalam keadaan uzur dan daif, manakala kemudahan asas seperti peti ais untuk menyimpan ubat sudah tidak boleh digunakan lagi.

Klinik Kesihatan Padang Jawa Daif 2

Selain itu, menurut Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi Dan Kebudayaan, Rodziah Ismail, pusat kesihatan ini perlu dibaiki segera kerana ia merupakan keperluan rakyat setempat untuk mendapatkan rawatan disamping isu keselamatan perlu dititik beratkan.

Katanya, rakyat berhak untuk menikmati kemudahan dan keselesaan semasa berurusan atau mendapatkan perkhidmatan di klinik terbabit.

“Klinik ini merupakan satu-satunya klinik di kampung ini, pengunjungnya ramai wanita mengandung dan kanak-kanak.

“Ia kini sudah uzur, saya terima banyak aduan dari Ketua Kampung dan minggu lalu serta hari ini saya lihat sendiri.

“Saya akan menulis surat kepada Kementerian Kesihatan supaya menaik taraf klinik ini supaya keadaannya lebih kondusif, walaupun berada di kampung, tetapi klinik ini di kawasan Bandaraya Shah Alam, jadi sampai masa ia patut di naik taraf,” katanya ketika ditemui.

Rodziah menambah Kerajaan Negeri sedia berbincang dengan Kementerian Kesihatan sekiranya mahu membina sebuah klinik yang baru dan selesa.

“Kita mungkin boleh berbincang untuk menyediakan tapak baru, bagi saya perkara yang berkenaan kemudahan rakyat kita tidak boleh memilih kawasan untuk diberi perhatian.

“Sementara ini, saya cuba bantu mana yang termampu dalam ruang lingkup saya, cuma kalau membina bangunan baru ia perlukan satu peruntukkan khas,” katanya.

Dalam lawatan itu, Rodziah turut memberi sumbangan berupa sebuah peti ais dan satu set komputer untuk kegunaan kakitangan klinik itu.

Klinik Kesihatan Padang Jawa Daif 3

Tinjauan di klinik terbabit mendapati lantai dan dinding klinik itu sudah usang, kemudahan tempat duduk yang disediakan di bahagian luar juga semakin uzur, selain tidak selesa dijadikan sebagai tempat menunggu kerana kawasannya terdedah kepada pancaran cahaya matahari.

Sementara itu, Ketua Kampung, Saian Asmari, 62, berkata penduduk mahukan supaya sebuah klinik kesihatan yang lebih selesa dibina.

“Penduduk di kampung ini, ada sekurang-kurangnya 30,000 orang. Kalau boleh mahu klinik yang lebih selesa. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yb Rodziah kerana prihatin dan sudi melawat masalah kami,” katanya.