Categories
SELANGOR

Surau DUN BN terima bantuan RM50,000

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 21 JAN : Prihatin terhadap keperluan pembangunan Surau di Kampung Seri Aman Mas, Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi pembinaan Surau Al-Iltihad.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata bantuan tersebut disalurkan sebagai komitmen Kerajaan Negeri membantu keperluan rakyat dalam segenap aspek.

“Saya dimaklumkan, pembinaan surau ini ditanggung anak-anak qaryah dan penduduk, justeru atas kesedaran bahawa masjid dan surau sebagai pusat perpaduan umat Islam, saya bersedia memberi sokongan kepada pembangunan ini.

DSC_3927“Sebagai bantuan awal, Kerajaan Negeri bersetuju memberikan peruntukan RM50,000 untuk pembinaan dan manfaat berterusan penduduk di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 500 penduduk pada Program Sehari Bersama Pimpinan, di Dewan Kampung Seri Aman Mas, di sini, pagi ini.

Surau berkenaan dibangunkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dengkil) di bawah Ahli Dewan Negerinya, Shahrum Mohd Sharif yang juga anggota Dewan Negeri Barisan Nasional.

Bantuan disalurkan Kerajaan Pakatan itu sekali gus membuktikan prinsip kesamarataan diamalkan tanpa membatasi kepimpinan parti lawan atau parti pemerintah.

Difahamkan, 50 peratus struktur pembinaan surau telah dibina, dengan kos pembinaan dibuat menerusi hasil kutipan penduduk dan masyarakat setempat.

Bukan sekadar meneruskan operasinya sebagai pusat ibadat penduduk Islam, surau berkenaan akan digunakan bagi tujuan program kemasyarakatan setempat.

Pembinaan surau itu juga diyakini bakal memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk kampung dan masyarakat sekitarnya.

 

-nR-