Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tak salah main golf asal bukan ditaja ‘tauke’

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JAN: Tidak menjadi satu kesalahan sekiranya ada penjawat awam atau pemimpin politik mengadakan aktiviti luar termasuk bermain golf dengan syarat mereka tidak ditaja oleh ‘tauke’ mahupun pihak mempunyai kepentingan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari berkata, adalah lebih baik bermain golf secara bersendirian bagi mengelakkan sebarang bentuk salah faham atau mengundang berlakunya unsur rasuah.

“Tidak salah kalau mahu bermain golf, ramai orang yang bermain tapi ditaja oleh beberapa ‘tauke’.

“Penjawat awam khususnya pegawai perlu mengelakkan diri daripada ditaja oleh ‘tauke’ melibatkan aktiviti luar seperti itu termasuk bermain golf dalam negara. Mereka perlu menjaga imej,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai teguran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad yang mengingatkan penjawat awam di negara ini supaya berhenti bermain golf di luar negara.

Kenyataan itu turut ditegaskan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki yang berpandangan budaya itu boleh menjejaskan imej agensi dan penjawat awam terlibat.

=EZY=