Categories
AGENDA SUKANKINI

Kelly Tan perbaiki satu kedudukan pada hari ketiga

TOKYO, 6 OGOS: Pemain golf wanita utama negara Kelly Tan memperbaiki satu kedudukan daripada tempat ke-49 ke kedudukan ke-48 hari ini, dalam permainan strok individu di Olimpik Tokyo hari ini.

Hari ketiga acara itu di Kasumigaseki Country Club di Saitama menyaksikan, pemain golf berusia 27 tahun itu melakukan satu atas par 72, untuk menjadikan lima atas par 218 keseluruhannya, dan berkongsi kedudukan ke-48 itu bersama Azahara Munoz dari Sepanyol dan Kim Metrauz dari Switzerland.

Pemenang Terbuka Malaysia tiga kali itu bermula dengan baik, dengan mencatatkan birdie pada lubang pertama sebelum melakukan empat bogey pada lubang ke tiga, lapan, 10 dan 11.

Kelly yang bertanding dalam Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) kemudiannya berjaya melakukan dua lagi birdie pada lubang ke-12 dan 14.

Sementara itu Nelly Korda dari Amerika Syarikat kekal sebagai pendahulu, walaupun hanya melakukan dua bawah par 69 hari ini, selepas melakukan sembilan bawah par 62 semalam, bagi menjadikan keseluruhan 15 bawah par 198.

Aditi Ashol dari India di tempat kedua dengan 12 bawah par 201, manakala empat pemain yang mencatatkan 10 bawah par 203 berkongsi tempat ketiga iaitu Lydia Ko dari New Zealand, Hannah Green (Australia), Emily Kristine Pedersen (Denmark) dan pemain tuan rumah Mone Inami.

Permainan hari keempat akan berlangsung esok (7 Ogos).

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Pemain golf profesional negara meninggal dunia di China

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Pemain golf profesional negara, Arie Irawan Ahmad, dilaporkan meninggal dunia dalam bilik hotel penginapannya atas sebab semula jadi.

Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGAM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, laporan rasmi berhubung perkara itu masih belum selesai.

Arie Irawan, 28, berada di China untuk menyertai Kejohanan Sanya, acara kedua dalam Siri jelajah PGA-China 2019.

“Jelajah PGA dan Persatuan Golf China berdukacita atas pemergian salah seorang ahli kita dan merakamkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Marina, dan kedua ibu bapanya, Ahmad dan Jeny.

“Apabila sesuatu yang sedih seperti ini berlaku dalam dunia golf, kita semua berada dalam keadaan dukacita,” kata PGAM dalam kenyataan itu.

Sebagai tanda penghormatan, pegawai membatalkan pusingan akhir Kejohanan Sanya dan ia menjadi acara 54 lubang.

Arie Irawan bergelar pemain profesional pada April 2013 dan dalam musim berikutnya, beliau menyertai Asian Development Tour (ADT) serta memperoleh kad jelajah bagi Jelajah Asia 2015 selepas menduduki ranking keenam dalam Asian Development Tour’s Order of Merit.

Pada Januari 2015, beliau memenangi acara Official World Golf Ranking buat julung kali pada PGM Sime Darby Harvard Championship dalam siri Asian Development Tour dan dengan kemenangan itu, beliau muncul sebagai pemain ranking tertinggi Malaysia dalam ranking dunia.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui posting di Twitter berkata, beliau akan meminta Kementerian Luar membantu untuk membawa balik jenazah Allahyarham. -BERNAMA

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Tourism Selangor agresif perluaskan pelancongan golf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 26 SEPT: Tourism Selangor terus agresif dalam menonjolkan setiap dimensi produk pelancongan berasaskan sukan golf yang setanding negara luar.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, selaku pemain utama industri pelancongan di negeri itu, pihaknya berhasrat menjadikan sukan golf sebagai satu hak pelancongan.

Katanya, sebelum ini sukan golf diletakkan sepenuhnya di bawah pengurusan pelancongan sukan (Sport Tourism).

“Tetapi, memandangkan kedudukan Selangor amat strategik dengan keseluruhan 29 padang golf yang ternama dan ekskusif berada di negeri ini, kami yakin dapat meneruskan promosi produk pelancongan golf ke tahap lebih tinggi.

“Malah, ramai pemain golf dari negara luar telah menyaksikan sendiri keindahan dan keistimewaan bermain di Malaysia, sekali gus melihat ia sebagai salah satu destinasi golf terulung di dunia.

“Selain itu, kita cuba untuk bersaing dan mengekori rapat dalam perkembangan ini, meskipun kita memiliki keistimewaan serta budaya tersendiri yang mampu menarik lebih ramai pemain golf dari luar untuk datang ke Malaysia, khasnya di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Gala Networking Dinner Tourism Selangor-IAGTO Golf FAM Trip 2018, di Hotel Premier, di sini, malam tadi.

Hadir sama, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari.

Mengulas lanjut, Noorul Ashikin berkata, usaha dijalankan pihaknya ke arah membangunkan pelancongan golf itu turut diperhebatkan dengan kerjasama erat Persatuan Pengendali Pelancongan Golf Antarabangsa (IAGTO).

Katanya, beberapa skop perbincangan dua hala sudah dibuat pihaknya bersama IAGTO bagi mengetahui prestasi semasa pasaran golf di peringkat global.

“Penyertaan dari Singapura, Indonesia, Vietnam, Korea dan Thailand mampu mengukuhkan lagi jaringan kerjasama dalam sektor pelancongan golf Selangor.

“Ia juga memberi keyakinan kepada kami untuk melihat Malaysia sebagai salah satu destinasi utama sukan golf di Asia Tenggara dan diteruskan sehingga ke Asia Barat serta Timur.

“Selepas ini kita akan mengadakan direktori khas kepada sukan golf dan mula berjumpa dengan syarikat pelancong yang mempromosi acara golf sebagai destinasi,” katanya.

Terdahulu, acara makan malam itu turut menghimpunkan beberapa agensi pelancongan tempatan dan antarabangsa.

 

Categories
SELANGOR SUKANKINI

WHB sokong aspirasi YRMS perkasa bakat anak muda

OLEH SABIRAH AZIZ

SERI KEMBANGAN, 19 NOV: Worldwide Holdings Berhad (WHB) menyokong aspirasi Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) bagi memperkasakan anak-anak muda yang kurang bernasib baik mengembangkan bakat dan kemahiran mereka ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, perkara itu dapat dilaksanakan melalui penyertaan syarikat korporat, anak syarikat negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang turut menyumbang ke arah pembangunan modal insan.

“Ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri yang memberi galakan penyertaan daripada agensi terlibat ini bagi sama-sama menyumbang melalui yayasan ini.

“Ianya khusus membantu anak-anak tidak berpeluang melanjutkan pelajaran atau mengembangkan bakat dan kemahiran mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah sempena kejohanan Golf Jemputan Raja Muda Worldwide Holdings Selangor edisi ketiga 2017, semalam.

Dalam majlis itu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada pemenang diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Kejohanan kali ini disertai 120 pemain terdiri daripada pengurusan tertinggi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) badan korporat dan swasta.

Ia bertujuan mendapatkan sumbangan bagi melahirkan lebih ramai anak muda berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang.

Penganjuran golf itu menawarkan tiga kategori iaitu Medal A, Medal B dan Medal C.

Kategori A dijuarai Ahmad Fadali Baharuddin, kategori B dimenangi Muhamad Abdul Rahman sementara juara kategori C dimenangi Datuk Jalil Marzuki.

Manakala juara keseluruhan pula dimenangi Mohamad Yusly Askandar.

Kejohanan pada kali ini juga berjaya mengumpul sebanyak RM1.27 juta hasil sumbangan daripada 22 penajaan seperti Eco World Dev Group Bhd, Prolintas, Aeon dan LBS Group.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tak salah main golf asal bukan ditaja ‘tauke’

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JAN: Tidak menjadi satu kesalahan sekiranya ada penjawat awam atau pemimpin politik mengadakan aktiviti luar termasuk bermain golf dengan syarat mereka tidak ditaja oleh ‘tauke’ mahupun pihak mempunyai kepentingan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari berkata, adalah lebih baik bermain golf secara bersendirian bagi mengelakkan sebarang bentuk salah faham atau mengundang berlakunya unsur rasuah.

“Tidak salah kalau mahu bermain golf, ramai orang yang bermain tapi ditaja oleh beberapa ‘tauke’.

“Penjawat awam khususnya pegawai perlu mengelakkan diri daripada ditaja oleh ‘tauke’ melibatkan aktiviti luar seperti itu termasuk bermain golf dalam negara. Mereka perlu menjaga imej,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai teguran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad yang mengingatkan penjawat awam di negara ini supaya berhenti bermain golf di luar negara.

Kenyataan itu turut ditegaskan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki yang berpandangan budaya itu boleh menjejaskan imej agensi dan penjawat awam terlibat.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pemain Golf Orang Asal tekad beri aksi terbaik

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 APR: Pemain Golf Selangor dari kaum Orang Asal, A Mizan Silai komited untuk memberikan aksi terbaik dalam Kejohanan Golf Terbuka Amatur di Templer Park bulan depan.

Mizan yang berasal dari Kampung Tun Razak, Kuala Kubu Bahru berkata beliau kini giat berlatih bagi merebut kejuaraan seterusnya melayakkan dirinya mendapat lesen pemain profesional.

golf“Insyallah jika tidak ada apa-apa halangan, saya akan menyertai kejohanan ini.

“Menjadi harapan saya untuk mendapatkan lesen pemain profesional sejak kecil lagi.

“Saya bermula dengan KD dalam bidang golf, jarang sekali bagi kaum kami yang terbabit dalam bidang sukan ini, jadi saya sangat berharap saya boleh lakukan,” katanya kepada SelangorKini.

Mizan berkata beliau mula menceburi bidang sukan Golf sejak berumur 10 tahun dan banyak menyertai pertandingan.

“Saya pernah menyertai kejohanan sukan ini di Bali, Indonesia 2015 dan alhamdulillah saya mendapat tempat ke 8.

“Kegagalan mendapatkan lesen pemain profesional sebelum ini menjadikan saya lebih kuat untuk beraksi kali ini,” katanya.

Pada 2012, Mizan muncul juara sebagai peneraju kategori lelaki di Malaysia dalam Kejohanan Golf di A Famosa Resort, Melaka.

EZY

Categories
NASIONAL

NOW: Kenapa YaPIEM beli simulator golf?

OLEH: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 DIS: Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) mempersoalkan tindakan Kumpulan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) membeli simulator golf.

Pengarah NOW, Akmal Nasir, berkata pihaknya mengulangi persoalan mengapa YaPEIM membeli mesin tersebut kerana penyumbang yayasan berkenaan dan orang ramai berhak mengetahuinya.

golfKatanya, perkara itu bertentangan dengan dengan fakta daripada Bajet 2013 YaPEIM yang menyatakan Pusat Latihan Latihan INPUT Golf atau Simulator Golf dibuat untuk Sukan Korporat YaPEIM.

“Kita mempertikaikan tujuan pembelian simulator golf itu, bagi saya masih tidak jelas.

“Kini Ketua Pegawai Eksekutif mendakwa simulator golf itu adalah untuk hotel empat bintang milik YaPEIM yang masih lagi belum wujud.

“Berapa banyak mereka membayar untuk memperoleh dan mengekalkan simulator itu,” soalnya pada kenyataan semalam.

Akmal berkata hal itu disebabkan apa sahaja pendapatan YaPEIM yang dijana harus diserahkan kembali untuk aktiviti amal jariah, selaras dengan objektif yayasan itu.

Semalam, YaPEIM menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa yayasan itu membeli simulator golf menggunakan sumbangan jariah orang ramai.

Sebaliknya, simulator itu dibeli hasil daripada pendapatan perniagaan yayasan itu.

Simulator golf yang kini ditempatkan di bangunan sembilan tingkat milik YaPIEM di Petaling Jaya juga akan dijadikan pusat kecergasan dalaman apabila bangunan itu dinaik taraf kepada hotel bertaraf empat bintang kelak.

EZY

Categories
SELANGOR

Pemain Thailand juara Golf Worldwide Holdings

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 22 SEPT: Pemain dari Thailand, Chapchai Nirat muncul juara pada Kejohanan Golf Worldwide Holdings Selangor Masters menewaskan pesaing terdekatnya, Antonio Lascuna dari Filipina.

Kedua-dua mereka terikat pada skor agregat 274 sebelum Chapcai berjaya meraih kemenangan pada pusingan penentuan.

golf7Kemenangan Chapcai adalah kemenangan keempatnya dalam Jelajah Asia.

Tempat ketiga disandang pemain dari India, Anirban Lahiri, manakala tempat keempat disandang oleh Scott Hend dari Australia.

Chapchai berjaya membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai berjumlah RM234,000.

Pada majlis itu, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat mencemar duli menghadiri Kejohanan Akhir Golf Worldwide Holdings Selangor Masters.

Turut mengiringi Baginda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kejohanan Golf Worldwide Holdings Selangor Masters yang berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor bermula 18 September lalu menawarkan hadiah RM1.3 juta secara keseluruhan.

Kejohanan anjuran Worldwide Holdings Berhad (WHB) dengan kerjasama Kerajaan Selangor dan Asian Tour itu tersenarai dalam Jelajah Asia dan menjadi tumpuan pemain profesional tempatan dan antarabangsa.

Kejohanan edisi ketujuh itu berlangsung meriah dengan pertambahan tawaran hadiah berbanding RM1.2 juta tahun lalu.

Asian Tour menampilkan ramai pemain ternama dari Asia dan Eropah seperti tahun lalu iaitu 152 pemain profesional.

EZY

Categories
SELANGOR

Golf Worldwide Holdings Masters dipancar ke 160 negara, peluang promosi Selangor

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kejohanan Golf Worldwide Holdings Masters yang berlangsung hari ini, 18 September hingga 21 September akan dipancarkan secara langsung ke 160 buah negara.

Ketua Komunikasi Korporat WHB, Amin Nardin Ishak berkata kejohanan siri jelajah Asia itu yang memasuki siri ketujuh, ia akan dipancarkan secara langsung dua hari berturut-turut.

golf04Katanya, melalui liputan siaran langsung itu nanti, dianggarkan sebanyak 160 buah negara dan lebih 500 juta kediaman berpeluang untuk menyaksikan kejohanan berprestij ini.

Ia dilaksanakan di bawah platform televisyen jelajah Asia termasuk siaran ulangan bagi program golf bertaraf dunia.

“Bagi peminat yang tidak dapat hadir menyaksikan perlawanan, mereka berpeluang untuk menonton menerusi kaca televisyen di kediaman masing-masing secara langsung,” katanya kepada Selangor Kini ketika ditemui.

Kejohanan edisi ketujuh bakal berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor itu turut menawarkan hadiah keseluruhan RM1.3 juta.

Ami Nardin berkata, pelbagai hadiah lumayan termasuk ‘Hole In One’ yang menawarkan antaranya, kereta Citroen DF5, Lotus dan Toyota Camry.

Sejak 2008, kejohanan itu melahirkan bakat-bakat baru daripada kalangan pemain tempatan seperti Ong Ben Leong, Haziq Hamizan, Danny Chia, Ian Steel, Shaaban Hussin dan ramai lagi.

Ong Ben Leong adalah pemain tempatan pertama menjuarai kejohanan golf ini pada 2008.

Pada edisi tahun lalu, seramai 144 pemain profesional di bawah Siri Jelajah Asia dengan seramai 108 adalah pemain antarabangsa dari 22 negara) dan 36 pemain tempatan menyertainya.

Manakala edisi kali ini, kejohanan itu mendapat penyertaan maksimum iaitu seramai 152 pemain antarabangsa dan tempatan.

Juara kejohanan itu tahun lalu, Pariya Junhavasdikul dari Thailand bakal berentap sekali lagi bersama-sama pemain handalan terkemuka di bawah Siri Jelajah Asia kali ini.

Selain itu, Amin Nardin berkata penganjuran kejohanan berturut-turut itu mampu melonjakkan perlancongan negeri Selangor di luar negara mahupun tempatan.

Katanya, selain banyak destinasi perlancongan, Selangor juga sememangnya terkenal dengan sektor industri yang menarik banyak pelabur ke negeri itu.

Worldwide Holdings Berhad (WHB) dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Asian Tour menganjurkan kejohanan ini yang tersenarai dalam Jelajah Asia serta kalendar pelancongan Selangor.

Selain itu, Worldwide Holdings turut menyokong program-program CSR berbentuk kemasyarakatan dan pembangunan komuniti termasuk pemberian sumbangan kepada Yayasan Raja Muda Selangor yang berjumlah RM400,000.00.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Tak galak swasta taja program Kerajaan Negeri demi integriti

Oleh: LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 17 SEPT: Kerajaan Negeri tidak menggalakkan penajaan swasta dalam program anjurannya mengelak simptom terhutang budi hingga menggugat ketelusan pentadbirannya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebaliknya Kerajaan Negeri lebih selesa mendapatkan tajaan daripada kumpulan anak syarikat (GLC) atau pihak berkuasa tempatan.

golf2Katanya, pendekatan itu selaras dengan hasrat kebanyakan program yang dianjurkan, kebiasaannya bagi tujuan mempromosi dan bukan mencari keuntungan.

“Kita tidak galakkan pihak swasta kerana tidak mahu ada kaitan dalam isu pentadbiran yang kita laksanakan di negeri ini.

“Sebab itu, kita minta rakan-rakan untuk menampung, pada kali ini untuk sama-sama membiayai dan mempromosi sukan golf,” katanya dalam sidang media di Kelab Golf Seri Selangor di sini petang semalam.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Kejohanan Pro-Am Worldwide Holdings Selangor Masters 2014 dan Majlis Penerimaan Mock-Cheque daripada penaja-penaja.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi dan Pengerusi Worldwide Holdings, Datuk Noordin Sulaiman.

Antara yang memberi sumbangan tajaan ialah Worldwide Holdings dengan tajaan RM 1.5 juta, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan RM 500,000 Permodalan Negeri Selangor (PNSB) RM 200,000, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) masing-masing RM 50,000.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pula masing-masing memberi tajaan RM 100,000.

Memasuki tahun kelapan penganjuran, kejohanan kali ini turut membariskan pemain-pemain golf bertaraf dunia termasuk David Lipsky, Pariya Junhasavasdikul, Aniraban Lahiri dan pemain handalan tempatan, Nicholas Fung, Danny Chia dan Airil Rizman.

EZY

Categories
SELANGOR

Golf Worldwide Holdings Selangor Masters 2014 tawar hadiah RM1.3 juta

Oleh HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 5 SEPT: Kejohanan Golf Worldwide Holdings Selangor Masters yang menawarkan hadiah RM1.3 juta bakal berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor pada 18 hingga 21 September ini.

Kejohanan anjuran Worldwide Holdings Berhad (WHB) dengan kerjasama Kerajaan Selangor dan Asian Tour itu tersenarai dalam Jelajah Asia dan menjadi tumpuan pemain profesional tempatan dan antarabangsa.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Ami Nardin Ishak berkata, kejohanan edisi ketujuh itu dijangka lebih meriah berikutan pertambahan tawaran hadiah berbanding RM1.2 juta tahun lalu.

Beliau berkata, Asian Tour dijangka menjemput ramai pemain ternama dari Asia dan Eropah seperti tahun lalu iaitu 144 pemain profesional.

“Ia turut disiar secara langsung menerusi saluran Golf Channel dan dipancar ke 160 negara di seluruh dunia mulai hari ketiga hingga keempat,” katanya kepada SelangorKini.

Kejohanan itu bermula seminggu lebih awal menerusi penganjuran Kejohanan ETIQA Selangor Junior Golf 2014 bagi menggilap pemain muda untuk memasuki golongan profesional.

Ami Nardin berkata, pelbagai hadiah lumayan termasuk ‘Hole In One’ yang menawarkan antaranya, kereta Citroen DF5, Lotus dan Toyota Camry.

Mengesahkan penyertaan penyandang juara, Pariya Junhavasdikul dari Thailand, beliau berkata, kejohanan itu bersempena sambutan Keputeraan DYMM Sultan Selangor dan Pelancongan Selangor.

“Usaha diambil adalah inisiatif terancang dan berterusan Kerajaan Negeri ke arah mempromosi pelancongan sukan di Selangor.

Ami Nardin berkata, kejohanan itu juga membantu menjana ekonomi melalui aktiviti pelancongan, selain memperkembang potensi pemain profesional.

– FZL