Categories
NASIONAL

TH: Arab Saudi kembalikan kuota haji Malaysia 27,900 

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 JAN: Kerajaan Arab Saudi mengembalikan semula kuota jemaah haji Malaysia kepada 27,900 jemaah untuk Musim Haji 2017.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataannya berkata, perkara itu dimaklumkan Menteri Haji dan Umrah Arab saudi, Dr Mohammad Saleh Bentan ketika mesyuarat tahunan urusan haji di Jeddah, baru-baru ini.

Katanya, mesyuarat berkenaan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“TH juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi hampir selesai melaksanakan projek pembangunan mega di sekitar Masjidil Haram sebagai usahanya memastikan jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia dapat menunaikan ibadat dengan lebih selesa dan selamat seiring dengan penambahan jumlah jemaah setiap tahun.

Tabung_haji“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi di atas pengembalian semula kuota haji berkenaan yang amat dinantikan seluruh umat Islam,” kata kenyataan itu.

TH juga memaklumkan, Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sentiasa duduk semeja bagi membincangkan soal pengurusan jemaah haji dan penambahbaikan setiap tahun.

“Antara perkara dibincangkan setiap tahun adalah peruntukan kuota tambahan bagi memendekkan tempoh penggiliran haji,” kata kenyataan sama.

Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi menghadkan kuota jemaah haji dari Malaysia kepada 22,230 sahaja, sejak 2013.

-nR-