Categories
AGENDA NASIONAL

Kumpulan terakhir: 475 jemaah haji selamat pulang

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia seramai 475 jemaah selamat pulang ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada 4.10 pagi tadi.

Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi kenyataan hari ini memberitahu keseluruhan seramai 30,173 jemaah haji Malaysia selamat pulang, manakala 24 jemaah haji telah meninggal dunia di Tanah Suci dan tiga lagi jemaah haji Malaysia sedang mendapatkan rawatan di hospital Arab Saudi.

“Para jemaah tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz, Madinah pada pada 1.58 petang waktu Arab Saudi, 12 Sept. Ketibaan kumpulan terakhir ini menandakan berakhirnya Operasi Haji TH bagi Musim 1440H/2019M,” kata kenyataan itu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, keseluruhannya operasi haji tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dan rata-rata jemaah haji Malaysia dapat menyelesaikan ibadah haji mereka dengan sempurna.

“TH ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara serta agensi-agensi yang terlibat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, satu sesi post-mortem akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi menilai semula semua sudut operasi dan mencari ruang penambahbaikan bagi musim haji akan datang.

“Surat tawaran untuk menunaikan haji bagi Musim Haji 1441H/2020M dijadualkan akan dikeluarkan bermula November ini secara berperingkat. TH menasihati para pendeposit untuk mengemas kini maklumat masing-masing dengan mengunjungi cawangan-cawangan TH berdekatan.

“Ini bagi mengelakkan surat tawaran haji tidak diterima kerana kesilapan alamat dan butiran peribadi yang tidak dikemaskini,” kata kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

TH terima deposit baharu hampir RM1 bilion

PASIR MAS, 27 APR: Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat kemasukan deposit baharu berjumlah hampir RM1 bilion selepas proses pemulihan dan penstrukturan semula institusi itu dilakukan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, perkembangan positif itu menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap badan pemegang amanah itu tetap kukuh walaupun menerima pelbagai tohmahan.

“Jumlah pendeposit baharu ini berjaya mengimbangi deposit keluar dan secara puratanya kewangan TH berjaya dikawal.

“Malah maklumat terkini daripada pengurusan TH menyatakan bahawa TH kini berada pada landasan yang tepat dan prestasi kewangan TH akan bertambah baik pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pondok Raudhatul Ulum di sini, hari ini.

Pada majlis sama Mujahid turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Taqwa kepada Guru Pondok, Ali Ab Rahman Hassan bagi pembinaan pondok tersebut yang akan dibina di atas tanas seluas hampir satu hektar dengan kos keseluruhan berjumlah RM2 juta.

Mujahid berkata, kerajaan akan terus memastikan TH kekal sebagai pemegang amanah yang dipercayai bagi mengurus dan menjamin simpanan serta pelaburan pencarum di negara ini.

“Saya yakin bila kita telus keyakinan rakyat kepada kewibawaan TH akan bertambah kukuh. Kita mahu pencarum mendapat gambaran yang jelas dan menerima faedah dengan cara yang betul,” katanya.

Dalam pada itu katanya kerajaan akan terus menanggung subsidi jemaah haji tahun ini sebanyak RM400 juta bagi menampung kos keseluruhan sebenar bernilai RM12,400 bagi setiap jemaah.

Katanya, kerajaan juga akan memikirkan kaedah tertentu bagi mengekalkan kos perbelanjaan mengerjakan haji sedia ada walaupun kos sebenar sentiasa meningkat dari setahun ke setahun.

Kerajaan PAKATAN komited memulihkan TH termasuk dengan memberi suntikan dana sebanyak RM17.8 bilion dan permulaan RM500 juta pada tahun hadapan, katanya.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tabung Haji umum hibah 1.25 peratus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 APR: Susulan masalah kewangan, Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan hibah atau bonus kepada pendeposit bagi 2018 sebanyak 1.25 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ia melibatkan pembayaran berjumlah RM913 juta.

Dalam sidang medianya di Putrajaya, beliau juga menjelaskan masalah kewangan itu berpunca daripada pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

MENYUSUL LAGI

Categories
NASIONAL

Hibah TH diumum dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 4 APR: Hibah Lembaga Tabung Haji (TH) akan diumum dalam tempoh terdekat selepas mesyuarat Jemaah Menteri memutuskannya, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata cadangan pelan penstrukturan dan pemulihan semula TH akan dibentang pada mesyuarat Jemaah Menteri esok.

“Kabinet akan membincangkan secara terperinci isu berkaitan kedudukan kewangan dan perkara-perkara bersangkutan dengannya, termasuk kemampuan TH membayar hibah kepada pendeposit.

“TH akan membuat pengumuman dalam tempoh terdekat selepas Jemaah Menteri membuat keputusan,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri menjawab pertanyaan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang bertanyakan bila kerajaan akan mengumumkan bayaran hibah kepada 9.3 juta pendeposit TH.

Menurut Noraini, berdasarkan rekod lima tahun ke belakang, TH akan mengumumkan kadar hibah pada Februari, namun sehingga kini pengumuman mengenainya masih belum dibuat sehingga menimbulkan kegelisahan dalam kalangan pendeposit.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

TH sahkan larangan bergambar, rakam video di dua masjid

 

SHAH ALAM, 30 NOV: Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan larangan bergambar di Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Makkah oleh Kerajaan Arab Saudi kepada semua Jemaah.

Perkara itu disahkan selepas TH menerima makluman rasmi daripada Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, berdasarkan surat tersebut, penguatkuasaan dikeluarkan bagi memastikan ketenteraman beribadat.

“Larangan dibuat juga bagi mengelak sebarang tindakan yang boleh mencetuskan gangguan dan memelihara kesucian dua masjid berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, penerangan dan nasihat melalui media sosial akan turut dilakukan secara berkala kerana ia lebih cepat serta mudah.

“TH akan memaklumkan larangan tersebut kepada semua bakal haji semasa Kursus Asas Haji yang akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 2 Disember depan.

“Kerajaan Arab Saudi mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai jemaah haji berdisiplin dan mematuhi undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, larangan itu dikeluarkan Kementerian Luar Arab Saudi, pada 12 November lalu.

Larangan itu juga dibuat supaya tidak mengganggu kelancaran jemaah lain beribadah.

Categories
NASIONAL

TH: Arab Saudi kembalikan kuota haji Malaysia 27,900 

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 JAN: Kerajaan Arab Saudi mengembalikan semula kuota jemaah haji Malaysia kepada 27,900 jemaah untuk Musim Haji 2017.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataannya berkata, perkara itu dimaklumkan Menteri Haji dan Umrah Arab saudi, Dr Mohammad Saleh Bentan ketika mesyuarat tahunan urusan haji di Jeddah, baru-baru ini.

Katanya, mesyuarat berkenaan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“TH juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi hampir selesai melaksanakan projek pembangunan mega di sekitar Masjidil Haram sebagai usahanya memastikan jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia dapat menunaikan ibadat dengan lebih selesa dan selamat seiring dengan penambahan jumlah jemaah setiap tahun.

Tabung_haji“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi di atas pengembalian semula kuota haji berkenaan yang amat dinantikan seluruh umat Islam,” kata kenyataan itu.

TH juga memaklumkan, Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sentiasa duduk semeja bagi membincangkan soal pengurusan jemaah haji dan penambahbaikan setiap tahun.

“Antara perkara dibincangkan setiap tahun adalah peruntukan kuota tambahan bagi memendekkan tempoh penggiliran haji,” kata kenyataan sama.

Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi menghadkan kuota jemaah haji dari Malaysia kepada 22,230 sahaja, sejak 2013.

-nR-