Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada kompromi lagi, JMB perlu kemuka dokumen kepada COB

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 JAN: Pengurusan Badan Bersama (JMB) Pangsapuri Seri Nipah, di sini, digesa mengemukakan dokumen berkaitan kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) bagi menyelesaikan masalah dalaman seperti didakwa sebelum ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, pihaknya dan COB akan mengambil tindakan tegas sekiranya JMB gagal berbuat demikian.

“Tidak akan berkompromi lagi dalam isu terbabit kerana JMB mengaitkan saya sedangkan sebelum ini kita membantu mereka dalam banyak perkara.

Rodziah“JMB gagal dalam menguruskan. Kita sudah minta mereka buat banyak perkara tetapi gagal. Mesyuarat juga sudah berapa tahun tidak dilakukan,” katanya kepada SelangorKini.

Rodziah berkata, isu warga asing turut diberikan perhatian ekoran lambakan warga asing di pangsapuri itu selain masalah sampah.

Katanya, ia menjadi kebimbangan pemilik sehingga tidak mahu tinggal di rumah sendiri.

“Masalah ini agak rumit. Banyak masalah dan isu terutama pengurusan. Banyak perkara yang perlu diselesaikan secara berperingkat.

“Kita juga sudah meminta JMB mengadakan mesyuarat agung luar biasa,” katanya.

Pangsapuri Seri Nipah merupakan kediaman flat kos rendah yang terletak di Jalan SM 2, Off Taman Pinggiran USJ, Subang Jaya.

Isu kebersihan membabitkan masalah pembuangan sampah tidak teratur di Pangsapuri Seri Nipah itu salah satunya didakwa berpunca daripada pendudukan penempatan warga asing di kawasan itu.

-NFN-