Categories
NASIONAL

Wahai Ku Nan, jangan bebankan rakyat lagi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 JAN: Cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melarang motosikal berkapasiti enjin kecil atau ‘kapcai’ memasuki Kuala Lumpur menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan netizen.

Perkara itu turut mendapat perhatian bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah yang berpendapat rakyat tidak seharusnya dibebankan lagi dengan keadaan itu.

Beliau berkata, cadangan itu juga akan menyukarkan golongan bawahan selain mempersoalkan kecekapan pengangkutan awam untuk dimanfaatkan rakyat.

“Jika alasan ‘carbon emission’, kenderaan besar lagi banyak melakukannya. Beban yang dipikul rakyat bawahan, janganlah diberatkan lagi dewasa ini,” tulisnya.

Sementara itu, Karami Kamel mempersoalkan cadangan alternatif penunggang motosikal kepada pengangkutan awam yang menekan belanja tinggi berbanding kos petrol kapcai.

ps1“Untuk ke tempat kerja saya, tambang KTM sehari lebih kurang RM20 selepas dinaikkan. Harga teksi pula tidak masuk akal, sangat mahal,” katanya.

Farhan Fauzi pula berpendapat kenderaan berkapasiti besar lebih banyak melepaskan karbon berbanding kapcai, malahan katanya, menunggang motosikal mampu mengelak kesesakan lalu lintas.

Seorang lagi netizen, Ain Sani berkata, cadangan itu jelas ‘menindas’ golongan bawahan.

“Beginilah nasib rakyat marhaen, sentiasa ditindas,” katanya.

Terdahulu, KEADILAN membantah cadangan itu serta merta kerana dasar terbabit mendatangkan kesan negatif terutama kepada industri yang bergantung kepada motosikal.

“Ketika harga minyak dan barang semakin meningkat, jaringan pengangkutan awam dari pintu ke pintu masih tidak lengkap, larangan ini tidak masuk akal, tidak bertanggungjawab juga tidak mempunyai penyelarasan baik,” kata Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil.

-AA-