Categories
NASIONAL

Kenapa harga ayam tidak stabil?

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 JAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani digesa memberi penjelasan berhubung harga ayam di pasaran yang sentiasa berubah hampir setiap hari.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berkata, walaupun harga ayam ditetapkan melalui mekanisme pasaran iaitu penawaran dan permintaan, tetapi perubahan harga yang dilihat adalah terlalu kerap dan tidak stabil.

“Kenapa perkara ini boleh berlaku? Mengikut Kementerian harga ayam dipengaruhi oleh penawaran dan permintaan serta bergantung kepada kos pengeluaran seperti bahan mentah makanan, buruh, ubat-ubatan dan utiliti.

“Siapakah yang sebenarnya menetapkan harga ayam? Adakah pihak tertentu mempengaruhi harga ayam untuk membolot keuntungan besar? Apakah tindakan kerajaan untuk memastikan harga ayam lebih stabil?” soalnya dalam kenyataan.

Timbalan Pengerusi DAP Perak itu juga berkata Kerajaan harus menangani masalah itu untuk memastikan harga ayam tidak melambung tinggi kerana daging ayam merupakan makanan utama bagi semua kaum di negara itu.

Sivakumar menjelaskan Dewan Rakyat pernah pernah mengeluarkan jawapan bahawa bekalan daging ayam mencukupi bagi menampung keperluan rakyat Malaysia untuk sepanjang tahun.

Hal itu kerana pengeluaran ayam pedaging adalah melebihi keperluan negara dengan kadar sara dirinya 105 peratus.

“Kini, industri itu berkeupayaan untuk mengeluarkan dua juta ekor ayam sehari iaitu bersamaan dengan 768 juta ekor ayam setahun. Memandangkan pengeluaran ayam di negara kita adalah stabil dan mencukupi, kenapakah harganya masih tidak stabil lagi?,” soalnya.

Beliau berkata peningkatan pengeluaran ayam juga adalah konsisten pada setiap tahun iaitu pada kadar empat hingga lima peratus setahun.

Ia kerana ayam pedaging yang berada di pasaran dirancang pengeluarannya 60 hari lebih awal.

“Kementerian berpendapat perancangan pengeluaran ayam dilakukan dengan baik oleh pihak industri.

“Tetapi kementerian juga harus sedar ketidakstabilan harga mempunyai impak terhadap kepenggunaan terutamanya kepada golongan miskin,” katanya.

=EZY=