Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: Projek WCE Persekutuan ganggu sistem air Sekinchan-Sabak Bernam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEKINCHAN, 13 FEB: Penduduk Sekinchan dan Sabak Bernam diminta mengambil langkah persediaan terhadap sebarang kemungkinan berlakunya gangguan air susulan pelebaran jalan Projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, projek di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan itu melalui jajaran Jalan Persekutuan 5 menghubungkan laluan Sekinchan dan Sabak Bernam.

“Untuk tempoh tiga hingga empat tahun ini, sepanjang jalan terbabit akan mengalami kesulitan terutama di kawasan Sekinchan yang turut mengalami tempias susulan pembangunan projek ini.

Ng Suee Lim“Paling membimbangkan, projek ini juga akan memberi kesan kepada masalah paip pecah dan gangguan bekalan elektrik.

“Hampir setiap minggu, saya menerima aduan berhubung masalah ini kerana pelebaran jalan sebenarnya turut membabitkan gangguan longkang dan saliran air yang terpaksa ditutup,” katanya kepada SelangorKini.

Projek WCE dibina sepanjang 233 kilometer menghubungkan Banting ke Taiping, Perak berjalan mengikut jadual dan dijangka siap, pada 2019.

Pembinaan yang dimulakan pada 2014 membabitkan 11 fasa pembangunan dan kini sedang memasuki fasa kelima meliputi kawasan di Selangor, manakala fasa 8 sehingga 11 di Perak.

Menelan belanja RM6 bilion, lebuh raya itu bakal bakal menghubungkan laluan bandar seperti Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sabak Bernam dengan Teluk Intan.

-NFN-