Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hari Tanpa Kenderaan MBSA terus dapat sambutan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 FEB: Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan 2017 edisi ke-2 terus mendapat sambutan dengan penyertaan lebih 1,000 orang awam.

Bertempat di Dataran Kemerdekaan, edisi yang berlangsung pada 12 Februari lalu itu disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Bermula jam 6.30 pagi, orang ramai dilihat mula memenuhi pusat bandar raya dengan menggunakan ‘roller blade’, papan luncur, ‘hover board’ dan ‘skuter blade’.

MBSA Tanpa Kenderaan (4)Aktiviti riadah lain termasuk pelepasan acara jalan kaki, larian, berbasikal, senamrobik dan persembahan pentas kombo MBSA.

Selain itu, turut disediakan jualan makanan ‘food truck’, pameran dan jualan hasil seni, produk hijau, jualan baja kompos dan sayur-sayuran.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, program berkenaan diadakan pada setiap hari Ahad, minggu kedua setiap bulan.

“MBSA berhasrat melahirkan warga Shah Alam dengan gaya hidup sihat serta mengurangkan pelepasan gas karbon monoksida yang boleh mencemar alam sekitar.

“MBSA juga mahu memberi fokus terhadap aspek penjagaan alam sekitar ke arah menjadikan Shah Alam bandar raya rendah karbon, menjelang tahun 2030,” katanya.

Bagi menjamin kelancaran program itu, MBSA menutup beberapa jalan termasuk Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai.

-NFN-