Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Zuraida: PAKATAN bincang kukuhkan muafakat

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Ahli Parlimen, Zuraida Kamaruddin yakin PAKATAN mengambil maklum kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS tidak akan menjalin kerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan AMANAH.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Wanita KEADILAN berkata, PAKATAN pastinya akan mengadakan perbincangan berhubung perkara itu bagi mencapai satu keputusan dalam usaha mengukuhkan permuafakatan antara parti sedia ada dalam gabungan berkenaan.

“Ia berdasarkan laporan media oleh Hadi (Presiden PAS) berhubung kait perkara itu, saya juga tidak tahu kebenarannya bagaimanapun sekiranya benar, pembangkang iaitu PAKATAN harus membuat keputusan.

zuraida-speech-oren-01-300x214“Saya kira berdasarkan kenyataan itu, kita akan adakan mesyuarat untuk membuat satu keputusan,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Dalam satu laporan media, Abdul Hadi berkata, PAS tidak perlu menunggu sehingga sebulan seperti diberikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam usaha membentuk kerjasama antara parti itu dan PAKATAN.

Beliau menjelaskan, keputusan diambil PAS iaitu tiada jalinan kerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan bersama DAP dan AMANAH.

Terdahulu, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, PAS diberi tempoh sebulan untuk memutuskan sama ada mahu menyertai PAKATAN atau tidak.

“Perkara ini masih dibincangkan dengan PAS selepas pertemuan kedua-dua parti 1 Februari lalu, keputusan segera harus diperolehi bagi menentukan strategi seterusnya.

-NFN-