Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar diperlukan, rakyat tagih pemimpin bijak dan adil

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 FEB: Rakyat sepatutnya sedar bahawa negara ini memerlukan pemimpin berjiwa rakyat, bijak dan adil.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia lebih jelas lagi apabila berhadapan dengan kemelut negara yang ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ini.

Katanya, Najib gagal di dalam setiap aspek kepimpinan bermaruah sekaligus menyebabkan Malaysia terus dibelenggu kesusahan.

“Hari ini genap dua tahun Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan sebagai tahanan politik.

nik-nazmi“Selepas melalui satu proses perbicaraan tidak adil, keluarga beliau, masyarakat malah negara ini dirompak seorang tokoh berwibawa

“Anwar Ibrahim merupakan tokoh yang kita perlukan pada masa ini,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi menyifatkan semangat ditunjukkan Anwar tidak pernah padam, kata-katanya masih penuh bermakna, dan pemikirannya terus relevan sehingga kini, walaupun berada di tirai besi.

“Tidak syak lagi beliau adalah calon Perdana Menteri terbaik sekiranya Pakatan Harapan menang.

“Satu-satunya cara untuk memastikan pembebasan beliau adalah dengan menewaskan Najib dan kerajaan Barisan Nasional di dalam pilihanraya akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Anwar Ibrahim mempunyai ketokohan serta pengalaman terbaik memulihkan negara ini.

“Peluang terbaik untuk kita bebaskan Anwar ialah dengan memastikan Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

“Cukuplah negara ini digadai oleh Najib untuk kesenangan dan kepentingan kroni dan keluarga,” katanya.

-nR-