Categories
NASIONAL

Anwar vs KJ: Azmin, Mahathir bakal dipanggil beri keterangan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi berhubung kes saman fitnah RM100 juta oleh bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Peguam, R Sivarasa yang mewakili Anwar berkata, selain Mohamed Azmin, pihaknya akan turut memanggil
mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution dan Datuk Mansor Othman.

Beliau memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan kemudiannya mengarahkan Sivarasa memfailkan pernyataan pemimpin itu sebelum 16 Februar ini.

“Mahkamah memberi masa seminggu untuk pihaknya berbincang sebelum membuat keputusan muktamad berkenaan perkara itu.

“Kedua-dua (Mahathir dan Muhyiddin) mungkin akan dipanggil bagi membuktikan dakwaan Anwar dalam saman berkenaan, manakala saksi lain sudah difailkan sebagai saksi,” katanya ketika ditemui.

sivarasaDalam prosiding kelapan hari ini, peguam Manjeet Singh Dhillon yang merupakan saksi Anwar dipanggil memberi kenyataan.

Manjeet berkata, beliau merakam kenyataan Munawar selepas melawatnya di penjara kira-kira lapan kali yang menjadi sebahagian daripada akuan berkanun ditandatangani Munawar, pada 1998.

“Munawar adalah anak guam saya dan dia mahu traumanya direkodkan. Kisahnya bermula dari detik dia ditahan pada 14 September 1998 dan berterusan dengan mendalam serta terperinci berkenaan apa dilakukan ke atasnya siang dan malam ketika disoal siasat polis, sehingga detik dia dibawa ke mahkamah dan dipaksa mengaku salah.

“Saya catitkan semua apa yang dikatakannya. Ingatannya terhadap peristiwa itu adalah jelas, menyeluruh dan tepat. Di mana perlu, dia menamakan orang yang terlibat dan menunjukkan aksi yang dipaksakan ke atasnya.

“Dia mahu dedahkan di mahkamah seksaannya dan penghinaan dilakukan penyiasat ke atasnya,” katanya.

Manjeet berkata, Munawar yang berkhidmat sebagai penulis ucapan untuk Anwar menceritakan bagaimana dia dicukur botak, didedahkan identitinya dan dimalukan secara sistematik, disoal siasat, diseret dan diseksa supaya membuat pengakual palsu.

Munawar ingin merayu atas sabitan dan hukuman itu, lalu membuat pengakuan berkanun yang diserahkan ke mahkamah hari ini.

Ia bagaimanapun ditandakan sebagai pengenalan ekoran bantahan dibuat peguam Khairy, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Prosiding itu bersambung, pada 20 Februari ini.

-AA-