Categories
NASIONAL

Banjir: Mangsa dipindah di Pahang meningkat, Johor menurun

KUANTAN 1 FEB: Limpahan air Sungai Pahang di Pekan menyebabkan jumlah mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 2,393 orang berbanding 2,365 orang malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Zainal Yusoff, berkata biarpun cuaca terang sejak dua hari lalu, Pekan mencatat sedikit peningkatan jumlah mangsa, lapor BERNAMA.

Setakat jam 8 pagi tadi, 1,263 mangsa daripada 350 keluarga dipindahkan ke PPS berbanding 1,222 mangsa daripada 337 keluarga malam tadi.

Ini diikuti Maran dengan 975 mangsa daripada 297 keluarga, Bera 108 mangsa (31 keluarga), Temerloh 31 orang (enam keluarga) dan Rompin 16 orang (empat keluarga).

Jumlah PPS yang masih beroperasi juga meningkat daripada 47 kepada 49 iaitu 20 di Maran, Pekan (20), Bera (lima), Temerloh (tiga) dan satu di Rompin.

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor berkurangan kepada 1,010 orang setakat jam 8 pagi ini berbanding 1,020 orang, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata jumlah itu membabitkan 269 keluarga dan mereka ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat, Muar dan Tangkak.

Daripada 1,010 orang itu, seramai 683 orang daripada 174 keluarga berada di 14 PPS di Segamat, 302 orang (89 keluarga) di dua PPS di Muar manakala 25 orang (enam keluarga) berada di satu PPS di Tangkak, katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ayub berkata, dua jalan masih terputus hubungan iaitu jalan Felda Kemelah di Segamat berikutan cerun runtuh dan jalan Kampung Sungai Pinggan di Pontian akibat jambatan runtuh.

=EZY=