Categories
SELANGOR

Beg kertas hanya sekali guna bukan pengganti sesuai plastik

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 FEB: Cadangan penggunaan beg kertas sebagai alternatif kepada larangan penggunaan plastik beg adalah tidak sesuai, kata Elizabeth Wong.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau itu berkata, beg kertas juga berfungsi untuk ‘sekali guna’ sama seperti plastik beg.

Katanya, kadar kebolehkitaran semula beg kertas juga masih rendah dalam kalangan rakyat negara ini.

“Bukan di Selangor sahaja, tetapi di Malaysia kita dapat lihat kadar kitar semula kertas masih berada di tahap tidak memuaskan.

“Jika kadar ini berubah menjadi lebih baik, mungkin kita boleh pertimbangkan beg kertas sebagai ganti,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Setia Alam, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengapa Kerajaan Negeri tidak menggunakan beg kertas sebagai alternatif kepada pengguna memandangkan ia boleh dikitar semula.

Katanya, Kerajaan Negeri menerusi Kempen Selangor Bebas Plastik berhasrat mengurangkan penggunaan barangan ‘sekali guna’ seperti beg plastik dan kertas.

“Sebaliknya, kita mahu rakyat menggunakannya secara berulang-kali seperti mana mereka membeli baju.

“Mereka tidak memakai baju sekali dan buang, sebaliknya berulang kali menggunakannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Elizabeth yakin kempen itu tetap akan berjaya walaupun terpaksa mengambil sedikit masa.

“Jika Melaka, Pulau Pinang dan negeri lain boleh berjaya, mengapa tidak Selangor yang memiliki rakyat bijak.

“Saya yakin rakyat Selangor senang hati menjayakan misi kali ini, beri mereka masa dan jangan buat sebarang rumusan lagi,” responnya ditanya rancangan Kerajaan Negeri sekiranya caj 20 sen gagal mendidik rakyat.

=EZY=