Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Bila ZAM ungkap ‘mampuslah Umno’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 FEB: Reaksi bengang veteran Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin terhadap parti itu kian terserlah apabila menghamburkan perkataan ‘mampus’ yang jelas menunjukkan parti ketuanan Melayu terbabit tidak akan berubah.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Mohd Fadzil berkata, pembangkang harus melipat gandakan penerangan kepada rakyat berkenaan pelbagai isu semasa sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi menyelamatkan Malaysia.

“Tan Sri Zam bukan calang-calang orangnya. Untuk seorang seperti beliau, mengeluarkan kata seperti itu di blognya menunjukkan betapa parahnya keadaan di dalam Umno.

FAHMI“Bagaimanapun, bagi saya kenyataan beliau tidak akan ke mana-mana terutama kerana pucuk pimpinan Umno sudah terlalu jauh terpisah daripada realiti kehidupan rakyat hari ini.

“Berapa ramai di antara pimpinan UMNO yang betul-betul tertekan akibat naiknya harga minyak mentah, barang dan parkir di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, semalam.

Katanya, kebencian rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang digambarkan Zainuddin bukanlah satu perkara baru tetapi perasaan itu sudah dirasai sekian lama dan semakin meningkat.

Terdahulu, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan itu dalam blognya mendakwa sentimen anti Najib dan Rosmah sedang berada di kemuncaknya di seluruh negara, pada masa ini.

Katanya, sentimen itu dapat dirasakan di banyak tempat termasuk pejabat kerajaan, surau atau masjid terutama kedai mamak.

“Pengalaman memberitahu saya, walaupun kebangkitan anti (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) hangat memuncak ketika rakyat menyokong reformasi (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tetapi orang ramai tidak bersuara secara terbuka seperti sekarang yang merangkumi semua lapisan masyarakat.

ZAM“Saya tidak perlu menambah cerita tentang sentimen anti Najib dan Rosmah yang panas memuncak di seluruh negara sekarang yang dapat kita cium, dengar dan lihat di mana juga kita pergi sama ada di pejabat kerajaan, di surau atau masjid, apatah lagi di kedai mamak,” kata Zainuddin.

Beliau juga menggesa Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), polis cawangan khas, perisik tentera dan jentera Umno melaporkan kepada Najib secara jujur dan terus terang akan perasaan sebenar rakyat terhadap perdana menteri itu demi keselamatan Umno juga orang Melayu.

“Sekiranya maklum balas ini tidak mahu diterima orang Umno, BN dan pihak perisikan, maka konklusi saya ialah ‘nak mampus, mampuslah Umno’. Apa nak buat lagi, nasihat semua pihak yang ikhlas dan sayangkan Umno, tak dipedulikan,” katanya.

Zainuddin berkata, kempen memburukkan imej Tun Dr Mahathir juga mendorong kebencian dan kemarahan terhadap Najib semakin memuncak.

-NFN-