Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pertahan majoriti undi terbesar DUN Bukit Lanjan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KEPONG, 12 FEB: Kemenangan dengan majoriti terbesar di Selangor yang diraih Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) perlu dipertahankan pengundi di kawasan terbabit.

Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa, berkata kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu turut menyumbang kepada keteguhan Kerajaan Pakatan selepas PRU-14 nanti.

“Pakatan menang di DUN ini hampir 10 tahun sejak kemenangan pertama pada 2008. Pada PRU-13 lalu kita telah merekodkan kemenangan dengan majoriti terbesar di antara semua DUN di Selangor.

“Diharap pengundi Bukit Lanjan pertahankan kemenangan ini kerana kita semua tahu pelbagai manfaat yang kita dapat dengan Kerajaan Negeri yang ada hari ini,” kata Sivarasa pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat DUN Bukit Lanjan di sini, hari ini.

Jelasnya, selain memberi kemenangan di peringkat negeri, pengundi juga perlu menolak Barisan Nasional (BN) bagi menyelamatkan negara ini daripada terus dirosakkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan Umno-BN.

Katanya, Kerajaan Persekutuan gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik sehingga menyebabkan rakyat terpaksa menanggung hutang beratus bilion ringgit yang dibuat Kerajaan Persekutuan.

“Harga barang naik, minyak petrol naik walaupun harga pasaran antarabangsa masih rendah. Kemudian tekan rakyat dengan GST kerana kerajaan sekarang berhutang bukan satu atau dua bilion tetapi ratusan bilion ringgit yang kita kena bayar,” katanya lagi.

Selain itu, kadar matawang ringgit juga semakin lemah sehinggakan selain dolar Singapura, bath, rupiah dan peso turut mampu mengatasi ringgit.

=EZY=