Categories
SELANGOR

EAIC tubuh pasukan khas siasat tahanan mati di lokap

SHAH ALAM 28 FEB: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) membentuk pasukan pegawai penyiasat bagi menjalankan siasatan dalam kes kematian Thanaseelan di lokap Balai Polis Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam, dalam satu kenyataan hari ini, berkata kematian tahanan dalam lokap adalah kejadian amat dikesali dan perlu dielak selain menegaskan siasatan dijalankan tanpa prejudis serta tidak berpihak kepada sesiapa.

“Digesa pegawai dan anggota polis memberi perhatian, mengambil panduan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Lokap PDRM dikeluarkan PDRM Bukit Aman pada 21 April 2014, yang memperuntukkan secara komprehensif berkaitan pengendalian orang tahanan di lokap PDRM.

“EAIC amat memandang serius kejadian ini susulan daripada dua kes kematian dalam tahanan lokap PDRM iaitu Soh Kai Chiok di Ibupejabat Polis daerah (IPD) Bera, Pahang pada 18 Januari lalu dan S Balamurugan di IPD Klang Utara pada 8 Februari lalu.

“Dalam perkembangan terkini berkaitan kedua-dua kes kematian yang sedang disiasat EAIC ini, 53 saksi diambil keterangan oleh Pasukan Penyiasat EAIC bagi kes Kai Chiok, manakala 47 saksi diambil keterangan bagi kes Balamurugan,” katanya.

Jelas beliau, skop dan bidang tugas siasatan EAIC adalah mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 24 Akta 700, termasuk perlakuan yang bersifat jenayah oleh pegawai PDRM ketika mengendalikan tahanan dan berkaitan kematian tahanan berkenaan.

“Selain itu, EAIC juga perlu mengenal pasti sama ada terdapat salah laku dizahirkan, untuk menentukan dan mengenal pasti bagaimana dan mengapa salah laku itu terjadi dan apakah peruntukan undang-undang, peraturan, kaedah serta SOP.

“Pada masa sama, siasatan (juga untuk mengenal pasti) jika ada arahan tetap berkaitan dengan pengurusan dan pengendalian orang tahanan yang tidak dipatuhi,” katanya.

=EZY=