Categories
EKONOMI

MRT Corp terima penghantaran terakhir 58 keretapi MRT

KUALA LUMPUR 28 FEB: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menerima penghantaran terakhir untuk 58 keretapi elektrik MRT bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Penghantaran ini menandakan salah satu pencapaian terbesar bagi Projek sebelum Laluan SBK siap keseluruhannya, dijadualkan pada bulan Julai 2017.

Penghantaran berlangsung pada petang 21 Februari 2017 dan berlanjutan sehingga lewat pagi keesokan harinya dengan penurunan keretapi di Depoh MRT Sungai Buloh.

Keempat-empat gerabak keretapi dihantar dari kilang pemasangan keretapi metro SMH Rail Sdn Bhd di Rasa, Hulu Selangor.

Kilang milik tempatan tersebut merupakan kilang pertama di luar Eropah dan satu-satunya di Asia Tenggara yang disahkan Siemens untuk mengendalikan pemasangan lengkap keretapi metro.

Kesemua 58 keretapi elektrik Laluan SBK dibekalkan sebuah konsortium merangkumi Siemens AG dari Jerman, Siemens Malaysia Sdn Bhd dan SMH Rail Sdn Bhd. Nilai kontrak ini ialah RM1.37 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Dato’ Sri Shahril Mokhtar berkata, ia merupakan pencapaian besar di Malaysia yang berjaya membekalkan keseluruhan stok keretapi bagi Projek MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang (SBK).

“Selain menjadi di antara komponen paling ikonik bagi Laluan SBK, keretapi elektrik merupakan sesuatu yang dekat di hati saya kerana ia menandakan kejayaan besar dalam usaha menyediakan kandungan dan penyertaan tempatan di bawah Program Kolaborasi Industri Projek MRT Lembah Klang,” kata Shahril.

“Saya ucapkan tahniah kepada Siemens AG, Siemens Malaysia dan SMH Rail bagi kejayaan yang cemerlang dalam menghantar keretapi elektrik mengikut jadual yang telah ditetapkan,” tambah beliau.

=EZY=