Categories
NASIONAL

Henti buru Dego Ride

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 FEB: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digesa untuk tidak bertindak ‘dwi-standard’ terhadap perkhidmatan teksi motosikal, Dego Ride.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R.Rajiv berkata, usaha memburu dan menyaman penunggang motosikal menjalankan perkhidmatan itu mengikut Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga harus dihentikan serta-merta.

Katanya, pemandu Grab dan Uber turut melanggar akta sama bagaimanapun mendapat layanan istimewa Kerajaan Persekutuan.

“Mengeluarkan saman terhadap penunggang Dego Ride adalah jelas amalan dwi-standard sedangkan hampir kesemua pemandu Uber dan Grab melakukan kesalahan sama.

Rajiv“Namun, kita tidak pernah dengar JPJ ingin memburu mereka sebaliknya Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan membenarkan Uber dan Grab beroperasi secara sah kerana sedar faedahnya kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Pada 11 Februari lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan perkhidmatan Dego Ride dihentikan serta-merta atas faktor keselamatan selain JPJ dilaporkan mula mengeluarkan saman terhadap penunggang Dego Ride.

Rajiv berkata, Tiong Lai sepatutnya memberi layanan serupa terhadap Dego Ride dalam usaha mengalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

“Dego Ride memainkan peranan penting bagi mengatasi masalah ‘first mile last mile’ dan mampu mengalakkan lagi rakyat Malaysia bertukar daripada penggunaan kereta persendirian kepada pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, tiada peruntukan undang-undang yang menghalang mereka untuk terus menjalankan operasi perkhidmatan berkenaan.

Katanya, perkhidmatan itu antara lain membantu golongan B40 menjana pendapatan sampingan dengan bermodalkan motosikal sebagai pelaburan utama.

Ia juga dilihat selaras dengan saranan menteri supaya rakyat melakukan dua, tiga atau lebih pekerjaan bagi menampung kos sara hidup tinggi.

-nR-