Categories
AGENDA NASIONAL

KPWKM sokong wanita sertai perkhidmatan teksi motosikal

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyokong penyertaan wanita dalam perkhidmatan teksi motosikal seperti Dego Ride.

Timbalan menterinya Hannah Yeoh berkata ia bertepatan dengan keperluan sektor pekerjaan yang memerlukan penglibatan wanita tanpa perbezaan gender, namun keselamatan perlu diutamakan.

“Kalau kita lihat hari ini memang ada banyak pekerjaan yang kaum wanita mahu turut terlibat dan saya rasa tidak ada lagi pekerjaan yang kurang sesuai untuk kaum wanita.

“Yang paling penting, kita perlu pastikan keselamatan penunggang ​​​​​wanita itu dijaga oleh semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas melawat fasiliti bilik pengurusan jenazah Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala yang dirasmikan di sini, hari ini.

Yeoh berkata pihaknya sedia mengadakan sesi dialog bersama kementerian terlibat termasuk Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan sekiranya memerlukan maklumat balas dan input daripada pihaknya demi menjamin keselamatan penunggang.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua, kanan) membonceng motosikal bagi mencuba perkhidmatan Dego semasa merasmikan Pejabat Urusan Dego Ride baru-baru ini. Foto BERNAMA

Sementara itu, Yeoh yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata bantuan kerajaan perlu disalurkan kepada semua pihak yang berkeperluan bagi memelihara kebajikan mereka tanpa mengira bangsa dan agama.

“Ini adalah duit rakyat, dipulangkan semula kepada rakyat untuk kebajikan mereka dan saya rasa sudah sampai masa di Malaysia ini, kita tidak lagi melihat kaum ataupun agama. Kalau ada keperluan, duit rakyat mesti disalurkan untuk membantu kebajikan semua,” katanya.

Pada tahun 2018, Yeoh mengumumkan sumbangan daripada Pejabat Parlimen Segambut sebanyak RM25,000 bagi pembinaan bilik pengurusan jenazah di masjid itu selepas mendapat permohonan daripada ahli jawatankuasa masjid dan penduduk setempat.

Fasiliti bilik pengurusan jenazah itu telah dirasmikan Pegawai Penyelaras Kanan Zon 6 Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Mohd Hilmee Omar, disertai Pengerusi Masjid Al-Hidayah Mazlan Khushairi Khairuddin.

Yeoh turut merakamkan penghargaan bagi pihak kementeriannya, keluarga dan kanak-kanak kurang upaya (OKU) kepada mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik atas dasar zero reject policy, yang lebih 10,000 kanak-kanak OKU diterima masuk ke semua sekolah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dego Ride kembali beroperasi hari ini

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Perkhidmatan teksi motosikal tempatan, Dego Ride kembali beroperasi hari ini setelah mendapat kelulusan khas daripada Kabinet.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata perkhidmatan itu dijangka mampu menawarkan 5,000 peluang pekerjaan kepada golongan belia yang memiliki motosikal, khususnya kalangan berpendapatan rendah (B40) dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500 hingga RM3,500.

“Walaupun ini bukan pekerjaan jangka masa panjang, segelintir mungkin, tetapi setidak-tidaknya ia dapat dijadikan sebagai batu loncatan (untuk mencari rezeki) jika hendak dibandingkan sebelum ini kerana kita nak pastikan nasib anak muda sentiasa terbela,” katanya selepas merasmikan pejabat urusan Dego Ride di sini, hari ini.

Dego Ride yang buat masa kini terhad perkhidmatannya di Lembah Klang, boleh diakses melalui aplikasi telefon pintar dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan, penghantaran makanan dan dokumen.

Pekhidmatan teksi motosikal itu memulakan perkhidmatan pada November 2016 dengan kadar tambang serendah RM2.50 dan terhad kepada perjalanan sejauh tiga kilometer di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun pada Januari 2017, perkhidmatan itu mendapat bantahan daripada kerajaan terdahulu dan diharamkan atas alasan keselamatan selain dilaporkan bersalahan dengan lesen kenderaan persendirian, serta melanggar Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride Nabil Feisal Bamadhaj berkata sehingga kini terdapat hampir 4,000 orang yang telah berdaftar sebagai ‘rider’ dan sebagai permulaan hanya 700 permohonan yang diluluskan.

“Syarat untuk menjadi rider adalah berumur 18 tahun ke atas, mempunyai lesen penuh B2, perlindungan insurans dan sekiranya berminat boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian,” katanya yang berhasrat untuk perluaskan perkhidmatan itu ke negeri lain dalam masa terdekat.

Menurut Nabil, semua jenis motosikal berkapasiti 150cc dibenarkan kecuali motosikal yang diubah suai bagi memastikan keselamatan penumpang.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Henti buru Dego Ride

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 FEB: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digesa untuk tidak bertindak ‘dwi-standard’ terhadap perkhidmatan teksi motosikal, Dego Ride.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R.Rajiv berkata, usaha memburu dan menyaman penunggang motosikal menjalankan perkhidmatan itu mengikut Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga harus dihentikan serta-merta.

Katanya, pemandu Grab dan Uber turut melanggar akta sama bagaimanapun mendapat layanan istimewa Kerajaan Persekutuan.

“Mengeluarkan saman terhadap penunggang Dego Ride adalah jelas amalan dwi-standard sedangkan hampir kesemua pemandu Uber dan Grab melakukan kesalahan sama.

Rajiv“Namun, kita tidak pernah dengar JPJ ingin memburu mereka sebaliknya Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan membenarkan Uber dan Grab beroperasi secara sah kerana sedar faedahnya kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Pada 11 Februari lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan perkhidmatan Dego Ride dihentikan serta-merta atas faktor keselamatan selain JPJ dilaporkan mula mengeluarkan saman terhadap penunggang Dego Ride.

Rajiv berkata, Tiong Lai sepatutnya memberi layanan serupa terhadap Dego Ride dalam usaha mengalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

“Dego Ride memainkan peranan penting bagi mengatasi masalah ‘first mile last mile’ dan mampu mengalakkan lagi rakyat Malaysia bertukar daripada penggunaan kereta persendirian kepada pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, tiada peruntukan undang-undang yang menghalang mereka untuk terus menjalankan operasi perkhidmatan berkenaan.

Katanya, perkhidmatan itu antara lain membantu golongan B40 menjana pendapatan sampingan dengan bermodalkan motosikal sebagai pelaburan utama.

Ia juga dilihat selaras dengan saranan menteri supaya rakyat melakukan dua, tiga atau lebih pekerjaan bagi menampung kos sara hidup tinggi.

-nR-