Categories
NASIONAL

Izzah desak jelas isu salah guna tanah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 FEB: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendesak sesi pendengaran membabitkan semua pihak dijalankan berhubung cadangan projek bercampur 350 unit hotel di Bangsar.

Katanya, hal itu ekoran pembinaan terbabit yang dilakukan di atas tanah syarikat utiliti bercanggah dengan syarat guna tanah.

Beliau mendakwa tapak berkenaan sepatutnya hanya digunakan untuk pembinaan kuarters kakitangan syarikat terbabit.

“Lebih membimbangkan projek yang dimulakan dengan kerja perobohan bangunan sedia ada itu terletak bersebelahan dua buah sekolah.

“Saya mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memantau perkara ini dan tidak memberi kelulusan membina bangunan berskala tinggi untuk tujuan keuntungan semata,” katanya dalam lawatan ke tapak projek, semalam.

Pada masa sama, Nurul Izzah turut menggesa DBKL mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan di kawasan pembinaan.

“Kita juga mahu laporan kajian trafik diberikan. Setakat ini, kita hanya mendengar sahaja setiap kali kesesakan tidak berlaku. Jika yakin, berikan kami salinan kajian trafik,” katanya.

Cadangan pembangunan berkenaan membabitkan kerja merobohkan bangunan sedia ada dan pembangunan bercampur 45 dan 54 tingkat mengandungi pejabat korporat, pangsapuri juga hotel.

-AA-