Categories
SELANGOR

Lebih 400 sertai Kejohanan Lumba Basikal Kriterium 2017

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 FEB: Lebih 400 peserta menyertai Kejohanan Lumba Basikal Kriterium Shah Alam 2017 bagi merebut hadiah wang tunai RM10,870, pada 18 Februari lalu.

Bertempat di Persiaran Tasik, majlis penyampaian hadiah disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Pertandingan terbuka mengikut peringkat umur ditetapkan manakala kategori dipertandingkan adalah kategori basikal bukit, kategori basikal lumba dan kategori kanak-kanak.

KRITERIUMBagi kategori basikal bukit dan basikal lumba peringkat dipertandingkan adalah lelaki bawah umur 15 dan 18 tahun, lelaki junior master umur 36 hingga 45 tahun, lelaki senior master umur 46 ke atas, kategori lelaki terbuka dan kategori wanita terbuka.

Sementara itu, bagi kanak-kanak pula terbuka bagi kategori kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur 4 dan 5 tahun dengan jarak 100 meter.

Pada 2015, pelumba skuad kebangsaan, Sufian Nabil Omar berjaya merangkul tempat pertama kategori terbuka Pertandingan Berbasikal Kriterium Shah Alam kali ke-15.

Pertandingan ini merupakan antara usaha berterusan MBSA untuk membuka peluang kepada semua golongan untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti sukan berbasikal.

Ia sekaligus menggalakkan masyarakat mengamalkan kehidupan sihat dan cergas selain membantu menilai tahap prestasi pelumba serta meningkatkan daya saing dan semangat kesukanan.

-nR-