Categories
SELANGOR

KDEBWM lebar sayap, MPK sambut baik

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 17 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyambut baik usaha Kerajaan Negeri memperluaskan pengambilalihan di 20 kawasan pembersihan awam mulai 1 Mac ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, KDEB Waste Managemant (KDEBWM) akan melebarkan sayapnya dengan melaksanakan kerja pembersihan awam meliputi kutipan sampah pukal, kebun dan pemotongan rumput.

Katanya, sebanyak tujuh fasa dan 111 zon dengan kontrak sebanyak RM29 juta dilaksanakan KDEBWM secara berperingkat.

YAZIDBeliau berkata sejak 1 Julai tahun lalu, KDEBWM mula menguruskan kutipan sisa domestik di sekitar Klang dan berjaya dilaksanakan secara keseluruhan.

“Walaupun pada mulanya, ramai agak skeptical dan sangsi keputusan itu, namun KDEBWM membuktikan bahawa keputusan Kerajaan Negeri dengan melantik mereka sebagai Project Management Company (PMC) adalah sangat tepat.

“Ini dapat dibuktikan dengan statistik aduan yang menunjukkan trend penurunan yang amat ketara bermula dari bulan pertama mereka mengambil alih kutipan sampah di Klang sehinggalah ke hari ini,” katanya di pelancaran program Smart Trak dan majlis penyerahan Mobile Garbage Bin, di Kompeks Sukan Pandaraman, di sini.

Yasid berkata MPK bertuah dan berbangga kerana diberi peluang menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pertama menggunakan lori-lori KDEBWM yang canggih, seragam dan tahan lasak.

Katanya, ia sekali gus dapat mengatasi masalah tipikal dan dominan yang sering diperkatakan di Klang.

-nR-