Categories
BERITA UTAMA NASIONAL RENCANA

Kepakaran 14 ‘Spiderman’ Malaysia ditagih dunia

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

Pembinaan Menara Jam Gergasi Abraj Al Bait bertentangan Masjidil Haram Makkah Al-Mukarramah menjadi bualan masyarakat seantero dunia, bahkan ia memperlihatkan keunikan dan kemegahan seni bina Islam apabila projek mega pertama yang dibina di tanah suci itu siap, pada 2012. Namun, mungkin tidak ramai yang tahu di sebalik gahnya projek berkenaan, ia didukung khidmat dan kepakaran 14 anak muda Malaysia bermula dengan pembinaan serta pemasangan bahan komposit pada Menara Jam Gergasi Abraj Al Bait berketinggian 601 meter termasuk pemasangan juga pembukaan semula struktur binaan mataf sementara Masjidil Haram.

Makkah (7)Mereka bukan sahaja bertanggungjawab melaksanakan gerak kerja Menara Jam Gergasi Abraj Al Bait tetapi turut terbabit dalam penstrukturan juga pembinaan sepanjang proses pembesaran Masjidil Haram, bahkan 14 anak muda bertuah itu mempunyai pelbagai bidang kepakaran selaku tenaga profesional di bawah pengurusan syarikat Premier Composite Technologies (PCT) LLC, Dubai iaitu sub kontraktor bagi syarikat yang memonopoli majoriti projek di Arab Saudi iaitu Saudi BinLaden Group serta berperanan penting dalam proses pemasangan komponen bagi projek menara jam terbabit.

Sejak tahun 2010, mereka berpangkalan di Makkah Al-Mukarramah hingga hari ini ekoran pembesaran Masjidil Haram yang dilakukan dengan begitu pesat dan pantas oleh Kerajaan Arab Saudi bagi menampung jumlah jemaah umrah dan haji yang kian meningkat setiap tahun. Benarlah kata orang, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu’ dan begitulah tuah 14 anak muda itu apabila terpilih mencurah keringat dan bakti di bumi penuh keberkatan yang menjadi impian setiap umat Islam untuk menetap di bumi Haramain.

Kepakaran dan pengalaman luas yang ada menjadi faktor utama menyebabkan mereka mendapat kepercayaan PCT dalam melancarkan gerak kerja pembesaran Masjidil Haram. Tiada siapa mampu menduga, Malaysia memiliki warga berkeupayaan tinggi dan mampu mencipta nama di pentas antarabangsa selain melakar sejarah tersendiri menjadi antara yang terpenting dalam proses pembesaran itu.

Malah, bertugas menghadap Kaabah setiap hari adalah satu rahmat Allah SWT yang tiada tandingan selain menunaikan umrah juga haji setiap tahun disebabkan kelebihan beragama Islam yang turut menjadi faktor penyumbang keberadaan mereka di tanah suci Makkah Al-Mukarramah. Namun, kekangan masa dan tuntutan kerja antara pengorbanan mereka apabila ada dalam kalangan 14 anak muda itu terpaksa meninggalkan isteri, anak serta ahli keluarga di Malaysia yang masuk tahun ketujuh.

Terpilih dalam projek kedua terbesar Masjidil Haram

Makkah (2)Kepakaran dan khidmat 14 anak muda itu terus diiktiraf apabila sekali lagi terpilih dalam projek kedua terbesar bagi Masjidil Haram iaitu pemasangan serta pembukaan semula komponen mataf sementara yang memerlukan profesionalisme termasuk ketelitian dalam aspek keselamatan diri, pekerja juga jutaan jemaah yang berada di kawasan dataran Kaabah. Mataf sementara yang dipasang pada tahun 2013 dibuka seluruh struktur binaannya dan dibawa keluar dari kawasan Sahn di dataran Kaabah membabitkan tempoh 24 hari juga 24 jam waktu bekerja siang hingga malam dengan seluruh tenaga kerja bertungkus-lumus dalam operasi pembukaan itu, pada 2016.

Di sini, komitmen 14 anak muda yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan profesional ‘climber’ itu ditagih bagi membantu menyempurnakan proses pembukaan mataf sementara. Hal itu kerana seorang ‘climber’ diperingkat antarabangsa memerlukan sijil khas yang dikeluarkan Industrial Rope Access Trade Association (IRATA) iaitu kursus terperinci yang diberikan sebelum diiktiraf selaku profesional ‘climber’.

Sentuhan Jurutera dan Pengurus Tapak Projek PCT, Hairul Nizam Baharuddin bersama barisan 13 anak muda Malaysia itu adalah kemegahan sebenarnya bagi Malaysia kerana beliau adalah tunjang dan kekuatan bagi mengemudi tiga projek di Masjidil Haram iaitu Menara Jam Gergasi Abraj Al Bait, mataf sementara dan Shamia Extensions dengan dibantu rakan senegara lain.

Makkah (1)Hairul Nizam, 40, berkata, beliau dan rakan yang lain berbangga dengan kepercayaan juga peluang diberikan syarikat hingga membolehkan mereka mencurah keringat, idea dan bakti dalam rangkaian projek mega di tanah suci Makkah Al-Mukarramah yang menjadi tumpuan serta bualan bukan sahaja dunia Islam tetapi negara lain. Kesempatan bekerjasama dan berpadu tenaga dengan rakan senegara dan negara Islam lain menjadi pengalaman peribadi yang sangat berharga dalam kamus kehidupan beliau.

“Cabaran utama ketika mula menjejak kaki di sini adalah masalah komunikasi kerana pekerja di bawah seliaan saya datang daripada pelbagai negara antaranya Arab Saudi, India, Iran, Syria dan Pakistan. Jadi untuk memudahkan situasi kami, bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantara.

“Namun, tak dapat dinafikan adakala timbul salah faham yang membuatkan saya rasa kurang efisien dalam memberi arahan juga panduan kepada pekerja ekoran berlainan bahasa dan budaya.

“Kini, ia bukan lagi masalah besar walaupun kekangan daripada sudut komunikasi dan budaya adakala masih berlaku tetapi tidak seperti awal ketibaan ke sini kerana saya berusaha menggunakan pelbagai kaedah bagi memudahkan proses arahan juga keberkesanan mesej untuk disampaikan kepada pekerja,” katanya kepada SelangorKini.

Pengalaman jadi bekalan di rantauan

Hairul Nizam berkata, beliau bersyukur kerana turut disokong 13 rakan senegara dan kumpulan jurutera dari PCT serta kontraktor terbabit selain pengalaman dalam bidang kejuruteraan selama lebih 15 tahun daripada peringkat awal pembabitan dalam projek pembesaran itu hingga kini. Beliau juga mengakui, belum berhadapan dengan sebarang konflik dan masalah ekoran komitmen, disiplin serta sikap profesional yang dipraktikkan setiap pekerja apabila gigih menyiapkan projek berkenaan dengan penuh konsisten dan komitmen padu.

Makkah (3)“Lebih utama, saya perlu efektif dalam pengurusan beberapa projek dalam satu masa dan ia tidak hanya berkaitan pengurusan tetapi turut merangkumi keseluruhan aspek kejuruteraan, reka bentuk struktur serta seni bina.

“Tidak ramai yang mahir dan arif dalam pengendalian juga pengetahuan berkenaan bidang komposit berteknologi tinggi yang sedikit sebanyak memberi ruang untuk saya berkongsi ilmu pengetahuan juga kemahiran dengan kontraktor yang terbabit dalam projek ini. Selain itu, kami perlu memastikan tenaga, masa, keupayaan dan kesabaran diluangkan sepenuhnya supaya setiap tugas mencapai sasaran ditetapkan,” katanya.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu mengakui, masih banyak yang perlu diterokainya supaya kemahiran dan kepakaran diperoleh dapat memberi manfaat serta faedah bukan sahaja untuk diri-sendiri tetapi dapat dikongsi bersama seluruh warga kerja serta pengetahuan umum kepada kontraktor termasuk rakyat Malaysia walaupun beliau berpengalaman luas dalam bidang berkenaan.

“Tanpa kesungguhan, kegigihan, semangat, doa dan sokongan padu daripada isteri, keluarga serta rakan seperjuangan bukan mudah untuk saya mencapai kebolehan yang ada pada tahap ini terutama cabaran bekerja di perantauan,” katanya.

Peranan penting ‘Spiderman Malaysia’ 

Hairul Nizam berkata, kemampuan 13 rakan senegaranya yang lain tidak boleh dipandang enteng kerana turut memainkan peranan penting dalam setiap projek yang dilaksanakan. Dengan jolokan ‘Spiderman Malaysia’ di Makkah, sudah tentu tidak tercapai dek akal fikiran bahawa mereka mempunyai keberanian dengan hanya bergantung kepada tali keselamatan (safety rope) dalam usaha memasang komponen pada struktur menara jam yang mempunyai ketinggian 601 meter dari paras laut itu. Mungkin tidak ramai antara kita mengetahui 14 pakar dari Malaysia itu berisiko tinggi apabila mempertaruhkan nyawa demi menjalankan tanggungjawab yang dipikul.

Makkah (9)Hairul Nizam menjelaskan, pengendalian operasi pemasangan dan pemantauan dari PCT yang diketuai Armiazizul Ariffin bukan sahaja dijalankan ketika siang, bahkan syarikat itu turut memantau jadual kendalian pada waktu malam di bawah seliaan Hashim Ripin dan Zulkefli Sulaiman.

Sementara itu, Armiazizul, 39, berkata, berada di tempat tinggi adalah suatu kepuasan dan beliau teruja dengan profesion sebagai ‘climbers’. Beliau yang berpengalaman dalam bidang itu sejak tahun 1998 bermula sebagai pekerja biasa sebelum meniti kerjaya sebagai profesional ‘climbers’ pada tahun 2000 hingga kini yang melakukan kerja pendakian di bangunan tinggi dengan kepakaran sebagai ‘industrial climber’.

“Kepakaran ‘climbers’ terbahagi kepada dua iaitu ‘industrial climbers’ dan ‘sports climbers’. Ada syarikat memerlukan ‘climbers’ yang mempunyai kelayakan akedemik antaranya dalam bidang kejuruteraan awam atau mekanikal.

“Bekerja di negara orang adalah cabaran paling besar dengan pengendalian pekerja membabitkan 120 orang daripada pelbagai negara bagi projek Menara Jam Gergasi Abraj Al Bait dan mataf sementara. Saya perlu bertanggungjawab atas setiap kendalian dan ‘climbers’ di bawah seliaan saya selain pemantauan berterusan selain harus teliti bagi menjaga aspek keselamatan pekerja ketika pengendalian juga pemasangan struktur binaan ekoran kekangan masa dalam usaha mencapai ‘dateline’.

Makkah (4)“Ini kerana ketepatan penyelarasan amat penting kerana saya mengetuai kumpulan pekerja waktu siang dan perlu menyerahkan tugasan selanjutnya kepada kumpulan kerja waktu malam. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika projek Menara Jam Abraj Al Bait iaitu di saat proses pemasangan ‘clock hand’ apabila saya diangkat oleh kren bersama struktur binaan seberat sembilan tan itu pada ketinggian 480 meter.

“Ketika pemasangan struktur hilal yang diangkat kren bersama komponen seberat 17 tan dengan paras ketinggian 590 meter, angin kuat dan ribut. Saya yang bergantung pada tali keselamatan terhuyung-hayang dan ketika itu komponen tidak dapat dinaik juga diturunkan ekoran ribut pasir. Saya begitu cemas selain hanya mampu bertawakal pada Allah SWT supaya selamat dan itulah pengalaman yang paling menakutkan,” katanya.

Penutup 

Ketika ini, Hairul Nizam bersama warga kerja PCT sedang gigih menyempurnakan tugas yang diberikan pemaju dan kontraktor dalam projek pembesaran Masjidil Haram. Beliau dan kumpulannya turut melahirkan rasa terima kasih atas sokongan padu juga semangat diberikan jemaah Malaysia apabila berselisih ketika berada di kawasan Masjidil Haram yang turut berkongsi kebanggaan apabila projek mega itu mempunyai sentuhan anak Malaysia.

Makkah (5)Tidak terjangkau di benak fikiran, bagaimana 14 anak muda itu mampu menjalani kehidupan di rantau orang dengan penuh kesabaran terutama jika difikir daripada sudut komunikasi juga budaya kehidupan masyarakat timur tengah. Namun, komitmen dan semangat juang yang tinggi membolehkan mereka terus positif dalam memastikan segala gerak kerja serta ‘dateline’ sasaran mengikut masa ditetapkan walaupun terpaksa meninggalkan keluarga nun jauh beribu batu.

Di sebalik semua itu, Hairul Nizam dan 13 rakan lain berharap diberi peluang mencurah keringat dan jasa bagi pembangunan di tanah air sendiri jika mempunyai tawaran kompetatif. Namun, bilakah semua itu akan menjadi kenyataan kerana usaha mereka seakan dipandang sepi oleh Kerajaan Malaysia yang lebih sanggup mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk mendapatkan kepakaran warga asing sedangkan kita mempunyai pakar yang khidmat mereka ditagih dunia.

Jangan jadi seperti kata pepatah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiar kelaparan’ dan sampai bila kita ingin menidakkan kemampuan anak tempatan di saat dunia luar mengiktiraf kemampuan serta kepakaran mereka. Siapa yang rugi akhirnya?

14 ‘Spiderman’ Malaysia 

Pengurus Tapak
Hairul Nizam Baharuddin

Penyelia/’Climber’
Armiazizul Arifin
Zulkefli Sulaiman
Mohamed Norhisam Hashim
Muliana Ahmad
Mohd Anuar Abu
Hashim Ripin
Mohd Najib Ahmad
Ramli Sehad
Muhamad Armi Azizuddin
Mohd Zaidi Abu Shah
Sabri Jaka
Mohd Hamka Alipyan
Airhan Mohd Rasullan

# Nurul Farina Nazlan adalah Pengarang SelangorKini dan maklumat berkenaan rencana dikongsi Amera Sabrena Dato’ Ahmad Sobri (isteri Hairul Nizam Baharuddin) yang kini di Makkah Al-Mukarramah