Categories
NASIONAL

KKM tidak terima amaran pencemaran paracetamol

SHAH ALAM, 8 FEB: Tiada sebarang laporan amaran berjaga-jaga diterima akibat pencemaran paracetamol daripada pihak berkuasa negara pengilang atau negara lain.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk P/500 (Aeknil) berwarna putih itu tidak berdaftar dengan kementerian dan ia adalah berbeza dengan Aeknil Tablets yang didaftarkan.

Ini berikutan penularan mesej di media sosial bahawa produk P/500 (Aeknil) berwarna putih berkilat itu mengandungi virus Machupo.

Katanya, Aeknil Tablets berdaftar mengandungi bahan aktif paracetamol 500mg dengan nombor pendaftaran ‘MAL19911249XZ’ dengan indikasi ‘For the relief of mild to moderate pain and reduce fever’.

16422337_1282931121746208_5811552976984953831_o“Tablet yang didaftarkan itu berwarna biru, berbentuk bulat dengan diameter setengah inci dan mempunyai perkataan aeknil atau therapeutic pada permukaannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, virus Machupo yang tersebar melalui air kencing atau najis tikus yang dijangkiti dikelaskan dalam kumpulan virus Arenavirus dan boleh menyebabkan demam berdarah.

Beliau berkata virus tersebut tidak boleh hidup dalam persekitaran kering seperti tablet paracetamol dan setakat ini hanya ditemui di Amerika Selatan.

Justeru, orang ramai diminta memastikan produk diguna adalah produk berdaftar, mempunyai pelekat hologram dan dilabel dengan nombor pendaftaran MAL.

=EZY=