Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK: Awas buaya di Sungai Klang

SHAH ALAM, 8 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan memasang tanda amaran di sekitar Sungai Klang ekoran seekor buaya sepanjang dua meter muncul di sungai terbabit.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, tanda amaran ‘awas’ diletakkan dalam masa terdekat sebagai memberi amaran kepada orang ramai.

Isnin lalu, seekor buaya timbul di permukaan Sungai Klang mengejutkan penduduk di bandar Klang.

Aksi reptilia itu kemudiannya di rakam oleh pengguna jalan raya di sebuah jambatan dan dimuat turun di laman sosial Facebook dan You Tube.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negera Selangor, Abd Rahim Othman berkata, pihaknya menerima aduan tentang kemunculan buaya di sungai itu dan melihat reptilia itu di laman sosial.

Katanya, pihaknya melakukan pemantauan berkala namun buaya terbabit tidak lagi timbul.

“Kami syak buaya itu hanya melalui kawasan itu untuk kembali ke habitat asal kerana kelibatnya hanya muncul sekali sahaja,” katanya.

Abd Rahim berkata reptilia itu tidak memberi ancaman kepada penduduk setempat ketika ini bagaimanapun penduduk dinasihatkan supaya menghubungi segera pihaknya sekiranya terlihat kemunculan buaya itu lagi.

“Langkah ini bagi memastikan penangkapan terhadap buaya berkenaan dapat dilakukan dengan segera,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penduduk supaya mengelakkan sebarang cubaan menangkap sendiri reptilia itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

=EZY=