Categories
NASIONAL

KLIA2 diisytihar selamat dan bebas agen bahan berbahaya

SEPANG 26 FEB: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) diisytihar selamat dan bebas daripada pencemaran bahan berbahaya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat, berkata operasi oleh Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Badan Perlesenan Kuasa Atomik (AELB) Malaysia mendapati tiada bahan berbahaya ditemui di lapangan terbang berkenaan.

Katanya, operasi selama satu jam 15 minit bermula jam 1.45 pagi tadi itu membabitkan beberapa kawasan yang mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Nam di klia2 pada 13 Februari lalu, lapor BH ONLINE.

Antaranya kiosk daftar masuk layan diri AirAsia, kaunter pertanyaan, papan maklumat penerbangan dan restoran Bibik Heritage di tingkat tiga serta tandas wanita dan Klinik Perubatan Menara di tingkat dua.

“Kita melakukan operasi ini selepas 12 hari kes berlaku kerana pengesahan analisis mengenai Agen Saraf VX (yang digunakan untuk membunuh Jong-Nam) hanya diperoleh pada petang Jumaat.

“Dengan pengesahan itu, kita melakukan proses pengesanan,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan, awal pagi tadi.

KLIA2Mengenai kakitangan di klia2 yang membantu mangsa pada hari kejadian, Abdul Samah berkata, mereka sudah membuat pemeriksaan perubatan dan didapati sihat, namun akan membuat pemeriksaan lanjut jika diperlukan.

Beliau berkata, tiada aduan daripada orang awam yang berada hampir ketika kejadian itu diterima, namun menyarankan mereka membuat pemeriksaan jika mengalami masalah kesihatan.

Mengenai suspek yang mengalami muntah-muntah dipercayai selepas menyembur cecair beracun itu, Abdul Samah menjelaskan, simptom itu dialami suspek wanita warga Indonesia, Siti Aishah, 25, di dalam teksi sebaik melakukan perbuatan itu dan bukan ketika dalam tahanan polis.

Sementara itu, katanya, suspek lelaki Korea Utara, Ri Jong-Chol, 47, disambung reman tujuh hari lagi bermula semalam.

Berhubung serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, Khamis lalu, Abdul Samah berkata, ia disewa oleh empat suspek utama kes pembunuhan itu, yang sudah meninggalkan negara ini.

Terdahulu, sebahagian kawasan di Balai Berlepas klia2 di tingkat tiga dan tingkat dua ditutup kepada penumpang bermula jam 11 malam tadi bagi operasi berkenaan dan kira-kira 100 petugas media tempatan serta antarabangsa hadir membuat liputan.

GAMBAR: BH ONLINE

=EZY=