Categories
NASIONAL

Tun M: Pemimpin luar datang ‘ada makna’

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 FEB: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kedatangan pemimpin negara luar ke Malaysia bukan atas dasar persahabatan sebaliknya beranggapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu memberikan sesuatu kepada mereka.

Tanpa menyatakan secara jelas nama pemimpin itu, beliau berkata mereka sepatutnya menjelaskan isu derma bernilai RM2.6 bilion diberikan sebelum ini.

“Ada pemimpin negara lain datang melawat, dia (Najib) anggap menghalalkan perbuatannya. Tapi kita tahu sebab-sebabnya yang orang asing ini membuat lawatan ke Malaysia.

“Saya tidak perlu sebut di sini tetapi mereka datang bukan kerana persahabatan tetapi kerana ada sesuatu yang Datuk Seri Najib boleh bagi kepada mereka.

“Inilah sebabnya mereka berada di sini. Kita berasa amat malang kerana mereka ini sepatutnya menjelaskan derma yang kononya diberikan mereka itu tidak benar, tidak ada dokumen menunjukkan wang itudiberi secara percuma.

“Tetapi demikianlah mereka sanggup membohong bersama-sama Datuk Seri Najib,” katanya.

Ketika berucap pada Kenduri Rakyat 2017 Sempena Hari Pelancaran Parti Peribumi Bersatu Malaysia di Tapak Pasar Malam Paya Jaras beliau berkata isu derma itu menjadi bualan pelbagai pihak di seluruh dunia hingga ada yang mendakwa Perdana Menteri sebagai ‘penyamun dan perompak’.

Menurutnya, belum ada dalam sejarah Perdana Menteri di Malaysia dituduh sedemikian bahkan turut gagal mempertahankan diri ketika diasak mengenai derma berkenaan.

Ketika ditanya wartawan selepas majlis kenduri rakyat adakah ‘orang asing’ yang dimaksudkan dalam ucapannya merujuk kepada Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud, Mahathir sekadar menjawab tidak tahu.

“Saya tidak tahu, saya tidak sebut apa-apa. Bukan saya, kamu (wartawan) yang sebut,” katanya.

Raja Salman dijadual tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan negara selama empat hari.

Dalam perkembangan lain, Kenduri Rakyat anjuran BERSATU dihadiri lebih 1,000 disamping kehadiran beberapa pimpinan politik daripada Pakatan Harapan.

Antara yang hadir Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

=EZY=