Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Krisis antarabangsa Pyongyang, Putrajaya kini ‘keliru’ – bekas menteri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 FEB : Tindakan Putrajaya memanggil pulang duta besarnya di Pyongyang merumitkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Korea Utara.

Bekas Menteri Umno, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, keadaan itu menggambarkan bahawa kredibiliti Malaysia di mata dunia kini tercemar membabitkan isu penyelewengan dan pembunuhan berprofil tinggi.

“Putrajaya kini semakin keliru dan saya boleh sifatkan apa yang dilakukan Putrajaya ini sebagai janggal membabitkan hubungan diplomasi antara Malaysia dan negara luar.

“Nama Malaysia sudah riuh satu dunia tentang skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan kali ini berkait isu pembunuhan berprofil tinggi ini juga memberikan gambaran negatif terhadap Malaysia.

“Walaupun memangil pulang duta itu bukanlah mengejutkan, namun persoalan utamanya berkait isu kredibiliti dan imej negara di mata dunia sekarang,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pagi ini, Duta Malaysia di Korea Utara, Mohamad Nizan Mohamad tiba kira-kira jam 9.37 pagi dari Beijing selepas dipanggil pulang Wisma Putra ekoran pertikaian membabitkan kes kematian abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

suspekkoreaBagaimanapun, Fauzi yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, kegagalan Putrajaya mencari penyelesaian terbaik melibatkan hubungan antarabangsa itu membuktikan ketidaksungguhan Kerajaan Persekutuan membersihkan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Apa yang digambarkan pimpinan pembangkang selama ini ternayata benar bahawa pengurusan Kerajaan Persekutuan tidak konsisten ke arah itu.

“Diharap isu ini dapat diselesaikan supaya imej dan kredibiliti negara di mata dunia dapat dikembalikan,” katanya.

Terdahulu pada Isnin, kontroversi kedua-dua negara itu tercetus selepas Duta Korea Utara, Kang Chol membidas pihak berkuasa Malaysia dalam penyiasatan kematian Kim Jong-nam dengan mendakwa bersekongkol dengan pihak luar bagi memberikan imej buruk kepada negara republik tersebut.

Kang Chol turut mendakwa pihak berkuasa Malaysia melakukan kekasaran terhadap warga Korea Utara yang ditahan berkaitan dengan pembunuhan Kim Jong-nam minggu lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Khalid Abu Bakar pada sidang medianya pagi ini menafikan wujudnya kekasaran dan pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan itu.

=EZY=