Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MDKS giat baiki longkang tangani banjir

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 FEB: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) kini giat melaksanakan kerja membaik pulih sistem saliran khususnya di sekitar pusat bandar.

Yang DiPertua MDKS, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, ia juga sebagai persediaan menangani masalah banjir ekoran taburan hujan agak tinggi, sejak kebelakangan ini.

Katanya, tindakan segera dilakukan bagi mengelakkan kerugian besar kepada penduduk dan peniaga jika berlaku fenomena hujan berterusan.

MDKS Longkang (1)“Terutama, ia juga terletak bersebelahan Laluan Persekutuan 5 yang menjadi akses utama pengguna jalan raya ke utara Selangor,” katanya.

Terdahulu, pemeriksaan rutin MDKS mendapati terdapat kerosakan longkang monsun di Jalan Bendahara 1 dan Jalan Bendahara 1/1, Taman Bendahara, Kuala Selangor.

Mohd Azhar berkata, skop kerja bagi memperbaiki longkang monsun itu sepanjang 200 meter dan dikhuatiri boleh menyebabkan laluan air tidak lancar jika tidak ditangani segera.

Katanya, kerja baik pulih dijangka siap sepenuhnya, pada 16 Februari ini.

“MDKS sedia maklum berkenaan kesesakan trafik di kawasan berkenaan ketika waktu puncak.

“Orang awam dinasihatkan lebih berhati-hati ketika melalui laluan ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Masyarakat turut digalakkan menyalurkan sebarang aduan secara dalam talian menerusi aplikasi SPARKS yang boleh dimuat turun secara percuma di Play Store dan App Store.

-NFN-