Categories
SELANGOR

MPK terus giat promosi Sungai Klang

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 22 FEB: Sejajar matlamat menjadikan Sungai Klang sebagai salah satu lokasi tarikan pelancong, Majlis Perbandaran Klang (MPK) turut mempromosikan kawasan itu sempena Tahun Melawat Klang.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, antara aktiviti dilaksanakan adalah pertandingan fotografi yang memaparkan keunikan dan keindahan Sungai Klang.

Katanya, MPK sebelum ini menganjurkan Larian Jambatan Kota yang disertai lebih 2,000 peserta.

“Usaha mempromosi Sungai Klang tidak terhad sempena Tahun Melawat Klang sahaja, sebaliknya memerlukan usaha berterusan membabitkan pelbagai pihak termasuk masyarakat setempat,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, ketika menyentuh usaha pembersihan Sungai Klang, Yasi berkata, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Waste Management terpaksa membina tiga perangkap sampah di sepanjang sungai terbabit.

YDP MPKKatanya, kesedaran orang ramai turut diperlukan bagi memastikan kebersihan sungai yang sarat dengan nilai sejarah itu terus terpelihara.

“MPK juga fokus terhadap usaha membendung pencemaran kualiti air di Sungai Klang dengan meningkatkan kesedaran pengilang.

“Kami sudah mengenal pasti semua pengilang yang beroperasi di Klang dan kerap bertemu serta berbincang dengan mereka bagi membenteras aktiviti pembuangan bahan tercemar ke dalam sungai,” katanya.

-AA-