Categories
NASIONAL

Nelayan maut dipercayai dibaham buaya

SANTUBONG 9 FEB: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika menjala udang di Sungai Santubong semalam, ditemui meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati, pagi ini.

Hanya separuh bahagian badan mangsa, iaitu dari pinggang hingga kaki ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada jam 10.29 pagi tadi, lapor BH ONLINE.

Berdasarkan keadaan mayat, mangsa Selamat Raub, 55, dipercayai dibaham buaya ketika menjala di tebing sungai itu, semalam.

Kehilangannya disedari anaknya selepas mendapati mangsa tidak pulang ke rumah sehingga jam 5 pagi tadi.

Berikutan itu, anak mangsa melaporkan kehilangan bapanya di Balai Polis Santubong dan gerakan mencari dan menyelamat digerakkan anggota polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Muhammad Mirza Dzalmira Miraj berkata, pada jam 9.46 pagi, pihaknya menemui barang milik mangsa iaitu telefon bimbit dan bekalan makanan.

“Tidak lama selepas itu iaitu pada jam 10.29 pagi, sebahagian tubuhnya ditemui kira-kira tiga kilometer dari barang miliknya ditemui.

“Kini operasi dijalankan untuk mengesan sebahagian lagi tubuh mangsa,” katanya.

=EZY=