Categories
NASIONAL

Terima bantuan KEADILAN, Umno ancam tarik semula elaun kebajikan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU PAHAT, 9 FEB: Inisiatifnya hanya untuk menyampaikan bantuan kebajikan kepada masyarakat memerlukan tanpa mengambil kira sebarang perbezaan politik.

Namun, tindakan tersebut disalahertikan sesetengah penyokong Umno yang terus mempolitikkan isu bantuan kebajikan disalurkan pimpinan KEADILAN di peringkat akar umbi.

Penyelaras KEADILAN DUN Rengit Johor, Malik Faishal Ahmad kesal dengan pemikiran cetek dan budaya politik singkat pimpinan setempat yang mengancam penduduk di Kampung Parit Amat supaya tidak menerima sebarang bentuk bantuan daripada parti pembangkang.

“KEADILAN Batu Pahat sebelum ini menyampaikan bantuan kerusi roda kepada kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) Muhammad Shah Razlee pada 28 Januari lalu.

image (2)“Selepas menerima bantuan kerusi roda tersebut lebih kurang dua minggu lepas, ibu kanak-kanak ini menghubungi saya dan memaklumkan mereka menerima ugutan untuk dihentikan bantuan bulanan (JKM) RM150 yang diterima adik Mohd Shah sebelum ini.

“Mereka juga turut menerima ugutan daripada Ketua Kampung dan Pengerusi Ketua-Ketua Kampung Negeri Johor yang hanya memberikan bantuan kepada kroni,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Membidas tindakan tersebut, Malik Faishal berkata, masyarakat sewajarnya lebih terbuka tanpa mempolitikkan isu bantuan kebajikan untuk tujuan dan kepentingan tertentu.

Beliau berkata, budaya politik matang seharusnya diamalkan demi kepentingan rakyat di negeri ini.

“Ia sesuatu yang tidak adil kerana ramai masyarakat tampil berjumpa saya dan memohon pelbagai bantuan, tetapi sebab takut diugut dan dipulaukan mereka terpaksa (akur) dan tidak mempunyai pilihan lain,” katanya.

Terdahulu, SelangorKini dimaklumkan, keluarga Mohd Shah menetap di pondok buruk, tanpa adanya bekalan air dan elektrik.

Ibunya, Zaleha Atan hanya menjana pendapatan dengan menjual hasil laut siput dan kerang.

Sementara itu, dilaporkan satu lagi kes ugutan sama diterima membabitkan keluarga Fatimah Badri.

=EZY=