Categories
NASIONAL

Pelajar mampu beli rokok seludup dengan wang saku

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 FEB: Langkah kerajaan menaikkan cukai eksais rokok sehingga 110 peratus dalam tempoh lima tahun dikhuatiri akan memburukkan lagi tabiat merokok di negara ini.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, keadaan itu boleh berlaku apabila didapati lambakan rokok seludup yang jauh lebih murah berbanding yang dikenakan cukai semakin serius.

“Langkah kerajaan naikkan cukai rokok gagal membendung amalan merokok tetapi burukkan lagi keadaan apabila rokok seludup makin mudah didapati dengan harga jauh lebih murah serendah RM3 sekotak pun ada.

dr-rosli-ex-bank-negara“Jika sebelum ini mungkin perokok habiskan RM10 hingga RM12 untuk beli sekotak rokok sehari tetapi tidak mustahil ada antara mereka yang kini menghisap rokok hingga dua kotak sehari kerana harganya murah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Katanya, lebih menakutkan lagi apabila kemampuan pelajar sekolah atau golongan di bawah umur untuk membeli rokok turut meningkat dengan hanya menggunakan duit belanja sekolah yang diberikan ibu bapa masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memerangi amalan rasuah habis-habisan terlebih dahulu bagi memastikan penguatkuasaan yang efisien, sekali gus negara tidak dibanjiri dengan kemasukan rokok seludup.

“Antara tanda berlakunya peningkatan rokok seludup apabila terdapat syarikat pengeluar rokok utama seperti British American Tobacco (BAT) mengambil keputusan menutup kilangnya di Petaling Jaya tahun lalu ekoran jualan produknya mengalami kemerosotan teruk.

“Pada masa sama penguasaan rokok seludup di pasaran meningkat sehingga 40 peratus,” katanya.

-NFN-