Categories
SUKANKINI

Pelumba 16 tahun bermula di Litar Rakyat kini Asia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 FEB: Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor (LLRKS) bukan sahaja mampu mengurangkan penglibatan anak muda terjebak dalam aktiviti lumba haram tetapi turut membuahkan hasil apabila beberapa bakat muda yang bakatnya diasah di litar itu kini beraksi di peringkat Asia.

Antaranya, bakat muda kelahiran Kampung Tok Muda, Kapar, Klang, Muhammad Haziq Hamdan, 16, yang kini beraksi dalam kejohanan 2017 Idemitsu Asia Talent Cup.

Ketua Sukan Permotoran LLRKS, Asmawi Askor berkata, Muhammad Haziq sebelum ini aktif dalam perlumbaan King Of 2T anjuran LLRKS sejak berumur 13 tahun lagi sebelum terlibat serius dalam kejohanan Honda One Make Challenge Petronas Malaysian Cup Prix pada 2015 dan 2016.

“LLRKS serius dalam usaha melahirkan bakat muda pelumba motorsikal negara seperti Muhammad Haziq yang bukan sahaja mempunyai bakat tetapi tetapi begitu bersemangat, komited dan berdisplin tinggi.

“Penganjuran program pembangunan bakat dan penganjuran acara sukan permotoran peringkat akar umbi oleh LLRKS diakui banyak pihak seperti Motorsports Association of Malaysia (MAM) dan Automobile Association of Malaysia (AAM) apabila berjaya melahirkan pelumba remaja dan muda yang memiliki stamina, ‘skill’ dan disiplin yang tinggi,” kata Asmawi ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, beliau juga yakin penglibatan semua pihak termasuk Kerajaan Negeri dalam pembangunan sukan pemotoran di negeri itu mampu melahirkan juara podium dari Selangor bukan sahaja di peringkat Asia tetapi dunia.

Muhammad Haziq yang memulakan kempennya di Kejohanan Idemitsu Asia Talent Cup pada 12 Mac ini bakal mengharungi enam pusingan melibatkan Litar Lumba Antarabangsa Chang, Thailand; Litar Lumba Antarabangsa Losail, Qatar; Litar Lumba Antarabangsa Suzuka, Jepun; Litar Lumba Antarabangsa Twin Ring Motegi, Jepun dan Litar Lumba Antarabangsa Sepang, Malaysia.

Wadacs Resources mengusahakan LLRKS yang mula beroperasi sejak 2012 dengan menawarkan pusat latihan dan perlumbaan pada harga rendah untuk anak muda mengasah bakat masing-masing.

Walaupun hanya mengenakan caj mampu milik berbanding kebanyakkan litar lain, namun pihak LLRKS tetap menitikberatkan soal keselamatan dengan mengenakan syarat minima sebelum mana-mana individu beraksi di litar itu.

=EZY=