Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Indeks Harga Pengguna melonjak 3.2%, tertinggi sejak Feb 2016

SHAH ALAM 22 FEB: Penanda aras inflasi, indeks harga pengguna (IHP) Malaysia meningkat 3.2 peratus pada Januari, kadar tertinggi sejak Februari 2016, demikian menurut data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

Data itu mengatasi jangkaan unjuran kenaikan 2.8 peratus dan menjangkaui peningkatan 1.8 peratus pada Disember.

Kadar inflasi pada Januari 2017 didorong oleh kenaikan harga makanan dan kediaman, utiliti serta kos pengangkutan.

Indeks kumpulan Pengangkutan menunjukkan peningkatan ketara iaitu 8.3 peratus pada asas tahun ke tahun bagi Januari 2017, setelah turun 0.6 peratus dan 1.5 peratus pada Disember 2016 dan November 2016.

Harga purata seliter petrol RON95 adalah RM2.10 pada Januari 2017 berbanding RM1.85 pada Januari 2016.

IHPBagi petrol RON97, harga purata meningkat kepada RM2.40 pada Januari 2017 daripada RM2.25 pada Januari 2016.

Inflasi tahunan mencapai paras tinggi tujuh tahun iaitu 4.2 peratus pada Februari 2016 sebelum menyederhana kesan daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan pada April 2015.

Oktober lalu, Kerajaan Persekutuan berkata ia menjangkakan kadar inflasi berada di antara dua dan tiga peratus tahun ini.

Indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 4.0 peratus pada Januari 2017.

Kenaikan ini didorong oleh indeks subkumpulan makanan Minyak dan Lemak (+37.9 peratus); Sayur-sayuran (+7.8 peratus); Ikan & Makanan Laut (+6.1 peratus) dan Buah-buahan (+2.1 peratus).

Bagi indeks Makanan di Luar Rumah, ia terus meningkat pada Januari 2017, dengan kenaikan 3.6 peratus.

Antara indeks barangan makanan yang mencatatkan kenaikan ketara dalam Januari 2017 berbanding tempoh sama tahun lepas adalah Kobis Bulat (+49.6 peratus); Minyak masak (+47.2 peratus); Sotong (+10.7 peratus); Udang (+8.6 peratus); Ikan Kembong (+8.5 peratus); Ikan Tenggiri (+6.6 peratus) dan Ikan Merah (+3.7 peratus).

Sementara itu, penurunan dicatatkan dalam indeks bagi beberapa barangan makanan seperti Bawang Kecil (-14.0 peratus); Bawang Besar (-7.3 peratus) dan Tembikai (-1.1 peratus).

=EZY=