Categories
NASIONAL

Pembangkang perlu peruntukan bentuk dasar lebih baik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 FEB: Kerajaan Persekutuan perlu mencontohi negara luar yang menyalurkan peruntukan kepada pembangkang bagi mewujudkan idea kreatif untuk membentuk dasar dan pemerintahan lebih baik.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara itu dipraktikkan pembangkang di United Kingdom (UK) yang diberi peluang menerusi keterbukaan pelbagai akses termasuk peruntukan mengemukakan kabinet bayangan.

Katanya, situasi terbabit berbeza dengan ahli parlimen pembangkang di Malaysia yang tidak menerima peruntukan khas selain daripada gaji bulanan.

“Pembangkang hanya menerima sumber kewangan terhad untuk mereka melakukan pelbagai inisiatif bukan hanya terhadap rakyat, malahan menunjukkan kelayakan mereka menubuhkan kerajaan lebih layak.

“(Di Malaysia) Wang untuk pihak bertanggungjawab membuat kajian tiada, jadi gaji itu kemudian terserah kepada inisiatif masing-masing,” katanya ketika forum ‘Wujudkah demokrasi sebenar di Malaysia?’ di Universiti Selangor (UNISEL), di sini.

CP2A5403-800x533Nik Nazmi berkata, ketiadaan sumber kewangan kepada pembangkang menyebabkan berlaku sekatan dalam menjalankan tugas.

Beliau berkata, situasi itu turut mempengaruhi penolakan jawatan Ketua Pembangkang dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam negeri (PAC) di Selangor oleh Barisan Nasional (BN).

“Pembangkang (BN) di Selangor menolak jawatan itu sedangkan ia peluang terbaik mengemukakan pelbagai idea bagi membantu melancarkan gerak kerja negeri secara bersama.

“Selangor menyediakan peruntukan RM800,000 kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) pemerintah dan RM200,000 kepada ADN pembangkang, namun mereka hanya menggunakannya untuk mengubahsuai pejabat.

“Kita mahu melihat mereka menggunakan peruntukan itu dengan baik dan tidak mustahil peruntukan kepada pembangkang diberikan 100 peratus jika ia digunakan. Namun, mereka menolak kerana tidak mahu kita menuntut perkara sama dalam Parlimen,” katanya.

-AA-