Categories
NASIONAL

Kerajaan Persekutuan acuh tak acuh bela nasib veteran ATM

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 FEB: Layanan acuh tidak acuh Kerajaan Persekutuan terhadap veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyebabkan golongan itu semakin terhimpit dengan kos sara hidup.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pentadbiran Umno-BN tidak pernah serius memperjuangkan nasib wira negara yang seharusnya menerima pengiktirafan lebih baik.

Katanya, sejak puluhan tahun, Kerajaan Persekutuan masih gagal mewujudkan mekanisme menyeluruh bagi membantu golongan berkenaan.

“Lihat sahaja apa yang berlaku sejak kes 1MDB diriuhkan sehingga pencen veteran ATM juga disentuh untuk menutup hutang besar syarikat milik kerajaan itu.

“Kelewatan pembayaran pencen itu merupakan gambaran sebenar layanan kerajaan terhadap veteran ATM.

“Sekiranya kerajaan sememangnya berniat menaiktaraf kehidupan veteran tentera, ia dialu-alukan tetapi mereka harus mengakui bahawa selama ini mereka mengabaikan wira negara ini dan tidak terus menunding jari,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan mengkaji kaedah bagi membantu veteran ATM yang tidak menerima pencen.

Beliau bagaimanapun tetap menuding jari terhadap veteran ATM yang memilih untuk tidak mengambil pencen.

Nik Nazmi berkata, alasan Hishammuddin itu adalah terlalu biasa digunakan sesebuah kerajaan yang tidak pernah mengambil berat kebajikan rakyat.

“Menurut menteri sendiri, seramai 176,000 veteran ATM tidak menerima pencen dan jumlah ini semakin meningkat. Persoalannya, mengapa perkara ini boleh dibiarkan berlaku?

“Kenaikan kos hidup ini juga sedikit sebanyak disebabkan pentadbiran kerajaan Umno-BN yang rakus.

“Jadi menteri tidak perlulah mengulas seakan-akan mereka prihatin padahal hakikatnya keadaan ini berlaku kerana mereka juga,” katanya.

=EZY=