Categories
PBT SELANGOR

Penubuhan JKP perkukuh persefahaman dua hala

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG, 28 FEB: Penubuhan Jawatankuasa Penduduk (JKP) dilihat mampu mewujudkan hubungan dua hala dan persefahaman antara penduduk dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi mendapatkan maklumat tentang permasalahan dan aduan.

Yang Dipertua MPSJ, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, JKP adalah individu dipilih untuk menjadi penghubung antara Majlis dengan masyarakat supaya segala permasalahan dapat diselesaikan.

“Mereka turut terlibat dalam pelbagai penganjuran aktiviti kemasyarakatan yang dianjur sendiri oleh Majlis mahupun JKP itu sendiri serta memelihara kesejahteraan setempat.

“Mereka juga memainkan peranan dan fungsi sebagai medium komunikasi antara MPSJ dan penduduk,” katanya ketika Majlis Anugerah Majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk dan Anugerah Zon Bersih JKP MPSJ 2016, di Holiday Villa Hotel, Subang Jaya, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Nor Hisham berkata, adalah wajar satu bentuk pengiktirafan diberikan kepada JKP MPSJ atas usaha disalurkan.

“Anugerah ini merupakan sebagai tanda penghargaan serta galakan dalam memajukan masyarakat setempat disamping menaikkan semangat di kalangan JKP untuk terus aktif.

“Selain itu, penganugerahan ini menggalakkan lagi kawasan zon MPSJ untuk terus bersih, cantik, harmoni serta mementingkan sifat ‘Go Green’ selaras dengan objektif MPSJ,” katanya.

Majlis pennyampaian anugerah disempurnakaan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

=EZY=