Categories
SELANGOR

Projek O MANKIND, bakal gegar gelombang nasyid negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 FEB: Ketika industri nasyid negara semakin dipandang sepi peminat seni tanah air, Ijithad Berhad mengambil langkah berani tampil dengan sebuah produksi berskala besar.

Menghimpunkan dua figura nasyid Hijjaz dan Rabbani dalam satu kumpulan – Nada Murni, usaha tersebut digerakkan secara bersama menerusi penubuhan Projek O MANKIND.

Pengarah Kreatif Content Ijtihad O MANKIND, Farihin Abdul Fattah berkata, Nada Murni merupakan usaha kolaborasi Hijjaz dan Rabbani yang mana ahlinya bakal tampil menyanyikan semula lagu klasik dan baru yang direka khas bagi projek tersebut.

“Hijjaz dan Rabbani adalah pelopor lagu nasyid yang mempopularkan nasyid pada penghujung 80-an ketika ahli asalnya masih lagi kanak-kanak, dan pastinya ramai antara kita membesar dengan dendangan nasyid mereka.

“Lagu mereka bukan sahaja bersemarak dan merdu, bahkan berjaya mempopularkan nasyid selain memberi pengajaran kepada masyarakat khususnya beragama Islam terhadap perkembangan nasyid ketika itu.

“Ini adalah selaras dengan usaha yang sedang kami usahakan menerusi projek utama O MANKIND untuk menyatukan kumpulan ini di bawah kumpulan asalnya, Nadi Murni,” katanya kepada pemberita pada sidang media Nada Murni jamming session di Sri Acappela Service Apartment, semalam.

Era penghujung 80-an dan 90-an, Nada Murni pernah tampil dengan lagu Asma-Ul-Usna dan selawat nabi yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sementara itu, berkongsi pengisian Projek O MANKIND, Farihin berkata enam lokasi di Malaysia dan Singapura sudah dikenalpasti bagi penganjuran konsert kumpulan itu, April ini.

Istimewanya, ‘Menuju ke Min Adam’ dipilih sebagai tema konsert selain mengekalkan unsur dakwah dan nasihat kepada golongan muda.

“Sehingga kini lokasi sudah dikenalpasti, namun kami masih lagi di peringkat perbincangan akhir dan lokasi tersebut akan dimaklumkan kepada umum kemudian.

“Cuma kami berharap agar projek ini mendapat sokongan masyarakat ke arah memartabatkan kembali industri nasyid negara,” katanya.

Sementara itu, Vokalis Rabbani, Azzadan Abdul Aziz menyifatkan gabungan semula kumpulan itu sebagai ‘memori’ selepas lebih 30 tahun bergiat dalam industri nasyid negara bersama bekas ketua kumpulan itu, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim.

“Sebelum Allahyarham pergi, beliau pernah menyatakan hasrat untuk menyatukan kembali Hijjaz dan Rabbani dalam Nada Murni.

“Alhamdulillah, akhirnya tercapai dan penyatuan ini sebenarnya mengimbau kembali perjalanan kami bersama arwah ketika dulu,” katanya.

=EZY=