Categories
SELANGOR

PRU 14: ADN Selangor sedia gempur GERAKAN, tumbang BN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 12 FEB: Tindakan GERAKAN mengumumkan lima individu untuk diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Umum (PRU14) di Selangor bukanlah jaminan bahawa parti komponen Barisan Nasional itu diterima rakyat di negeri ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, beliau bersedia ‘berdepan’ calon tersebut bagi mengekalkan kerusi itu pada PRU depan.

“Mereka sudah namakan calon? Saya tidak takut dan kalau parti meletakan saya sebagai calon (Bukit Gasing) pada PRU depan, tentunya saya sudah bersedia.

“Ia isu kecil kerana saya sentiasa bekerja dan berbakti untuk rakyat sejak awal lagi,” katanya.

Terdahulu, Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pengumuman calon awal ahlinya itu dibuat kononnya bagi membolehkan rakyat menilai dengan teliti dan memberi peluang kepada calon yang juga penyelaras parti bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Antara calon diperkenalkan termasuklah Pengerusi Gerakan Selangor, Datuk David Ang Chin Tat bagi kerusi Parlimen Puchong.

Turut dinamakan, Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda, Chai Ko Thing akan bertanding dii kawasan Bukit Gasing.

Sementara itu, ditanya sejauh mana mengenali bakal ‘lawannya’ itu, Rajiv berkata, calon itu sewajarnya turun padang lebih awal mendekati rakyat.

“Saya tidak pernah nampak wajah calon itu dalam program rakyat atau tampil berani bercakap di hadapan media.

“Saya hanya mengenali beliau melalui poster kecil ditampal di jalan sekitar Petaling Jaya sahaja,” sindirnya.

=EZY=