Categories
SELANGOR

Papan tanda amaran, elak jadi ‘santapan’ buaya Sungai Klang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 12 FEB: Papan tanda amaran dibangunkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai peringatan kepada masyarakat awam susulan kemunculan buaya di Sungai Klang viral di laman sosial, baru-baru ini.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, petugas turut diarahkan untuk menjalankan kerja pemantauan harian bagi mengenalpasti habitat sebenar haiwan itu.

“Langkah keselamatan diambil MPK adalah dengan mendirikan papan tanda amaran sebagai peringatan kepada orang awam supaya lebih berhati-hati sekiranya berada di tebing sungai.

“Namun, kami ingin mengingatkan orang awam supaya lebih berwaspada dan tidak menghampiri kawasan tebing sungai sebagai jaminan keutamaan keselamatan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Yasid berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Thaipongal 2017 peringkat Selangor di Taman Sentosa, Klang di sini, malam tadi.

Terdahulu, dilaporkan viral di media sosial apabila seorang pengguna Facebook memuatnaik rakaman video reptilia tersebut dikatakan timbul berhampiran Jambatan Kota, Sungai Klang.

Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan habitat sebenar haiwan yang didakwa sepanjang dua meter itu.

Sementara itu, hasil carian SelangorKini, isu kemunculan buaya di Sungai Klang bukan pertama kali dilaporkan media.

Memetik laporan Sinar Harian Jun lalu, kelibat buaya tembaga juga pernah muncul di permukaan Sungai Klang berhampiran landasan transit aliran ringan (LRT) di Jalan Jurutera.

Turut dilaporkan, dua ekor buaya didakwa timbul di Sungai Klang, Kampung Tengah, Batu 13, Puchong, menjadi tular dalam aplikasi Whatsapp.

Dalam isu beransingan, seekor lagi buaya dikesan muncul di permukaan Sungai Semenyih, Selangor, 8 Februari lalu.

Pengarah Perhilitan Selangor, Abd Rahim Othman berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kehadiran reptilia itu awal minggu ini.

“Tinjauan kami mendapati buaya itu ada di kawasan paya berhampiran Sungai Semenyih,” katanya, lapor Mstar.

=EZY=